Dua empangan sabo atasi tragedi kepala air siap Jun 2023

Tuan Ibrahim (dua kiri) melawat lokasi tragedi kepala air di Titi Hayun Yan pada Rabu.
Tuan Ibrahim (dua kiri) melawat lokasi tragedi kepala air di Titi Hayun Yan pada Rabu.
A
A
A

YAN - Pembinaan dua buah empangan sabo bernilai RM22.8 juta bagi mengatasi tragedi banjir dan kepala air di Gunung Jerai akan bermula pertengahan Januari depan dan dijangka siap menjelang Jun 2023.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembinaannya merangkumi kawasan rekreasi Titi Hayun di Daerah Yan dan Tupah di Daerah Kuala Muda yang terjejas teruk akibat tragedi terbabit.

Menurutnya, pembinaan itu merupakan yang pertama dibina di Malaysia, mempunyai struktur binaan empangan yang lengkap dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

"Konsep ini akan diguna pakai bagi mengatasi masalah banjir atau kepala air yang berlaku di mana ia akan berfungsi sebagai penampan kepada pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar daripada turun ke tempat lebih rendah,"katanya ketika penyerahan projek kepada kontraktor di Titi Hayun, pada Rabu.

Hadir sama menyaksikan penyerahan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, selain pembinaan empangan sabo, projek itu turut melibatkan pembangunan sistem amaran aliran puing (debris flow) yang dikenali Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) bagi memberi amaran awal kepada pengunjung dan penduduk tempatan sebelum berlaku sesuatu bencana.

"Pelaksanaan projek ini dijangka bermula pada pertengahan tahun 2022 dan dibangunkan ke kawasan rekreasi seluruh negara yang berisiko berlakunya tragedi seumpama itu," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat dan mengelak risiko kehilangan nyawa melalui kaedah pengawalan aliran batu, kayu dan sedimen semasa aliran sungai yang tinggi seperti fenomena kepala air.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya berlaku kepala air, sekurang-kurangnya mereka yang mandi di bawah sempat lari setelah dapat amaran awal untuk mengelakkan bencana," katanya.

Dalam tragedi pada 18 Ogos lalu, enam terkorban manakala lebih 1,000 keluarga terjejas di Daerah Yan dan Kuala Muda akibat kerosakan harta benda dan tempat tinggal setelah dilanda banjir lumpur serta fenomena kepala air Gunung Jerai.