IPK Perak bakal miliki bangunan baharu

Mazlan (kanan) menerima pelan cadangan pembangunan Kompleks IPK Perak baharu daripada Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar pada Rabu. Turut kelihatan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Mazlan (kanan) menerima pelan cadangan pembangunan Kompleks IPK Perak baharu daripada Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar pada Rabu. Turut kelihatan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
A
A
A

IPOH - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bakal memiliki bangunan baharu bernilai lebih RM300 juta yang akan dibina di bandar Meru Raya, di sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di atas tapak seluas hampir 12 hektar bagi menggantikan bangunan lama IPK di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh.

"Daripada tinjauan dilakukan, kita dapati tanah ini amat sesuai untuk didirikan IPK yang baharu. Ini berdasarkan beberapa aspek yang diambil kira iaitu dari segi kedudukan yang strategik dan keselamatan penduduk.

"Apatah lagi Meru Raya akan membangun sebagai sebuah bandar, penting untuk kita melihat peranan polis dalam membantu menjaga keselamatan kawasan ini melalui perancangan pembangunan akan datang," katanya selepas mengadakan lawatan tapak cadangan Kompleks IPK Perak baharu di sini pada Rabu.

Beliau berkata, untuk peringkat awal, kerajaan dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah meluluskan peruntukan RM68 juta bagi tujuan pengambilan tanah dengan keluasan antara 10 ke 12 hektar daripada Perak Corporation Berhad (PCB).

Menurutnya, menerusi Rolling Plan Ketiga RMK12 pada 2023 nanti, pihaknya akan mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan yang dianggarkan RM300 juta bagi pembinaan IPK tersebut.

"Bajet yang ada ini hanya untuk perolehan tanah dahulu, dalam masa sama kita buat permohonan untuk bajet pembinaan, setelah diluluskan nanti barulah kita ke peringkat seterusnya seperti buka tender.

"Bangunan IPK Perak yang sedia ada ini dah lama, jadi kita amat berharap ada pembinaan bangunan baharu untuk membantu aspek keselamatan dan kelancaran pentadbiran kepolisan di Perak," katanya.

Artikel Berkaitan: