[VIDEO] Penampilan terkini bekas MB Selangor tampak berbeza

Khalid (tengah) di samping isteri bersama anak dan cucu ketika menyambut hari lahirnya pada Selasa.
Khalid (tengah) di samping isteri bersama anak dan cucu ketika menyambut hari lahirnya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penampilan terbaharu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengejutkan banyak pihak susulan keadaan fizikalnya yang semakin susut.

Abdul Khalid berkongsi gambar terbaharunya itu menerusi kemas kini di Facebook pada Rabu.

Gambar beliau di samping isteri, Puan Sri Salbiah Tunut bersama anak dan cucunya itu dirakam sewaktu menyambut hari lahir ke-75.

Menerusi kemas kini di Facebook itu, beliau memanjatkan kesyukuran kerana diberikan kesempatan menyambut hari kelahirannya bersama keluarga di rumah.

"Syukur alhamdulillah saya telah diberi kesempatan menyambut hari lahir di rumah semalam (Selasa) bersama Salbiah, Iqbal, Aida serta Arif.

"Terima kasih di atas ucapan selamat daripada semua teman melalui WhatsApp dan media sosial," katanya.

Beliau turut memohon maaf susulan tidak dapat membalas setiap kiriman mesej yang diterimanya itu.

"Maka di sini saya mengambil kesempatan untuk turut berdoa agar kita semua di dalam rahmat ALLAH SWT serta diberikan umur yang panjang dan bermanfaat dengan kesihatan yang baik. Amin," tulisnya.

Susulan perkongsian tersebut, rata-rata pengikut Facebook beliau mengucapkan Selamat Hari Lahir selain menitipkan doa semoga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu diberikan kesihatan berpanjangan.

"Sanah helwah Tan Sri Semoga sentiasa dalam rahmat dan reda ALLAH SWT serta dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang barakah," ujar Mohd Nor Azizah di ruangan komen.

"Masya-ALLAH.. Sanah Helwa Tan Sri. Semoga ALLAH SWT memberikan kesihatan kepada Tan Sri..Tan Sri adalah MB Selangor yang terbaik," kata seorang pengguna, Abd Karim Sufian.

Sementara itu bekas Setiausaha Politik beliau, Faekah Husin turut meninggalkan komen pada gambar terbaharu Abdul Khalid itu.

"Abdul Khalid kurus tapi Insya-ALLAH sihat. Nutrisi sihat dan kebanyakan sayuran dengan sedikit karbohidrat," tulisnya di ruangan komen.

Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

Artikel Berkaitan:

Beliau dipecat sebagai MB Selangor oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum menyandang jawatan menteri besar, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003.