Muip belanjakan RM5.7 juta untuk pembangunan saudara baharu

Asmadi (kanan) menyerahkan cek sumbangan bagi menjalankan aktiviti dakwah kepada Perkim Negeri Pahang dalam satu majlis di Kuantan pada Selasa.
Asmadi (kanan) menyerahkan cek sumbangan bagi menjalankan aktiviti dakwah kepada Perkim Negeri Pahang dalam satu majlis di Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sudah membelanjakan sebanyak RM5.7 juta untuk pembangunan golongan saudara baharu di negeri ini dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Peruntukan yang disediakan itu membabitkan pemberian wang sagu hati pengislaman dan bantuan tahunan kepada golongan berkenaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, ia termasuk peruntukan bagi aktiviti kelas briged dakwah, kelas bimbingan kelas fardu ain, elaun pegawai dakwah, sumbangan program keagamaan dan seminar.

Beliau berkata, bayaran elaun kepada imam, siak dan bilal dalam kalangan orang asli yang menguruskan surau dan masjid di kawasan penempatan mereka juga termasuk dalam peruntukan tersebut.

"Muip turut menyediakan bantuan untuk membaik pulih dan membina baharu surau di kampung orang asli selain mengadakan kursus agama, seminar, forum dan lawatan atau keagamaan.

"Peruntukan besar yang disediakan itu membuktikan Muip tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap saudara baharu atau mualaf di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau pada Selasa hadir pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Bagi Menjalankan Aktiviti Dakwah Perkim Bahagian Negeri Pahang di sini.

Sementara itu, Asmadi berkata, bantuan kewangan untuk saudara baharu sentiasa ditambah setiap tahun bagi memastikan semua aktiviti yang dirancang berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini sebagai usaha memastikan kebajikan golongan mualaf di negeri ini sentiasa terbela.

"Daripada jumlah peruntukan kepada saudara baharu tahun ini, bantuan tahunan mencatatkan bayaran tertinggi kira-kira RM1.7 juta," jelasnya.

Tambah beliau, peruntukan bantuan tahunan itu sentiasa meningkat kerana mengambil kira pertambahan golongan itu setiap tahun.

Selain itu, katanya, saudara baharu dalam kalangan orang asli merekodkan jumlah paling ramai menerima bantuan tersebut, diikuti kaum Cina dan India.

"Melalui bantuan yang disediakan ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, nasib golongan saudara baharu di negeri ini turut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain melalui pelbagai program terutama di kawasan luar bandar.

"Ia termasuk program dakwah di perkampungan orang asli pendalaman dalam usaha memberi ilmu dan membimbing mereka terhadap kefahaman mengenai Islam sebenar," katanya.