X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

MAN setuju cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Majlis Air Negara (MAN) bersetuju dengan cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan bagi memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai selain menjamin kualiti sumber air bersih serta memulihara alam sekitar.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu mempengerusikan Mesyuarat MAN 2021 secara maya, pada Rabu.

Menurutnya, kepesatan proses perbandaran di negara ini menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

“Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Justeru, cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan; Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan serta agensi yang berkaitan.

MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju serta pendekatan berhubung pengurusan dan pembangunan air negara.

Dalam mesyuarat itu juga, Ismail Sabri berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan berkaitan aras lindung selamat reka bentuk infrastruktur pantai akibat kesan perubahan Iklim dan kenaikan aras laut.

Kata Ismail Sabri, ia berikutan fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambil kira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

“Ini penting supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Cadangan lain, beliau berkata, MAN bersetuju dengan kerjasama pelaksanaan inisiatif Air Pulih Guna antara Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dengan Syarikat Operator Air Negeri.

Jelasnya, inisiatif Air Pulih Guna itu bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!