Wakil kementerian mesti hadir ketika persidangan: Rais

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada Selasa menetapkan sekurang-kurangnya wakil kementerian perlu hadir di dalam dewan ketika suatu perkara berkaitan kementerian berkenaan dibangkitkan pada persidangan Dewan Negara.

Rais berkata, langkah itu memerlukan kerjasama semua pihak serta perubahan sikap supaya perkara yang disuarakan Ahli Dewan Negara tidak menjadi sia-sia dan mendapat perhatian sewajarnya daripada kementerian berkaitan.

"Saya ternampak semasa Yang Berhormat berucap dengan penuh pengisiannya, saya menghalakan pandangan ke sebelah kanan, rupa-rupanya dari atas ini saya tidak nampak sama ada menteri berkenaan atau timbalannya atau pegawainya yang mendengar, jadi mungkin ini ada buat sistem baharu iaitu mendengar hanya dalam talian.

"Jadi, saya nak buat ruling (keputusan) ataupun penentuan pada petang ini, jika sesuatu kementerian itu mengadakan perkara yang berusul atau bersabit dengan rang undang-undang atau sabit dengan peruntukan, sekurang-kurangnya sama ada timbalan menteri ataupun pegawai hendaklah hadir di dewan.

"Saya tidak mahu Ahli-ahli Dewan Negara hanya berucap kepada bangku atau kerusi yang kosong," katanya selepas sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh Senator Datuk Zaiedi Suhaili pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Selasa.

Zaiedi sebelum itu mencadangkan supaya projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut disediakan kepada pelajar sekolah menengah bagi mengurangkan beban ibu bapa pelajar daripada golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, pelajar sekolah menengah daripada golongan berkenaan juga perlu dibantu dari segi pemakanan dan diberi perhatian seperti murid-murid di sekolah rendah yang berasal daripada keluarga B40 dan M40.

“(RMT) janganlah hanya terhad kepada anak-anak di peringkat sekolah rendah sahaja, apa salahnya dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah. Kalau anak-anak itu ibu bapanya B40 dan M40, apakah beza anak itu di sekolah menengah?

Artikel Berkaitan:

“Yang masalah, kita hanya beri perhatian apabila anak-anak berada di peringkat sekolah rendah, tetapi apabila naik sekolah menengah, kita mula abaikan. Jadi inilah (punca) berlaku masalah sosial jika anak diberi perhatian lebih (di sekolah rendah), bila (sekolah) menengah kurang beri perhatian,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Rabu. - Bernama