Undi 18: AUKU perlu dimansuh

Prabakaran
Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dimansuhkan susulan Undi 18 yang akan mula dikuatkuasakan, tahun depan.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, pemansuhan AUKU telah lama diperjuangkan dengan beberapa pindaan dilakukan.

Menurut beliau, tidak wajar menyimpan akta yang mengekang kebebasan mahasiswa bersuara susulan pindaan Perlembagaan membenarkan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

"Jika anak muda berumur 18 tahun sudah boleh menjadi calon pilihan raya, saya fikir adalah tidak logik untuk mempunyai akta seperti AUKU ini yang mengekang kebebasan mereka berorganisasi. Ia seolah-olah kemajuan yang mundur (progressive backward).

"Saya minta Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad membuat keputusan terbaik berkenaan status AUKU memandangkan undang-undang ini bercanggah dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang menurunkan umur had mengundi, " katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Prabakaran berkata, memberi autonomi dan kebebasan akademik kepada pelajar adalah selaras dengan keputusan kerajaan.

"Dengan menurunkan had umur mengundi, ia memberi kebebasan kepada anak muda untuk memilih kepimpinan negara," katanya.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Undi 18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun hadapan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kabinet telah membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.