93 kemalangan maut pejalan kaki di ibu negara sejak 2022

KUALA LUMPUR- Sebanyak 93 kemalangan maut melibatkan pejalan kaki yang direkodkan di ibu negara dalam tempoh empat tahun sejak 2022, berdasarkan data dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT, PDRM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, daripada data yang diterima, golongan lelaki di peringkat umur antara 40 hingga 70 tahun paling tinggi menjadi korban kemalangan pejalan kaki.
Menurutnya, tiga kawasan utama yang sering berlaku kemalangan pejalan kaki adalah lintasan pejalan kaki di Jalan Tun Perak (Masjid Jamek), Jalan Sultan Ismail dan Sri Petaling serta berlaku di waktu malam.
“Kadar kemalangan maut yang melibatkan pejalan kaki di Kuala Lumpur adalah 29 kes pada tahun 2022, 21 kes pada 2023, 23 kes pada 2024 dan 20 kes pada 2025.
“Punca utama kemalangan yang melibatkan pejalan kaki adalah disebabkan pengguna melintas tidak menggunakan fasiliti disediakan dan halaju kenderaan yang tinggi.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi tumpuan kepada isu pejalan kaki dengan mengadakan kerjasama dengan agensi dalaman dan antarabangsa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah kemalangan membabitkan pejalan kaki di Kuala Lumpur bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk jumlah kematian dan kecederaan serius, selain lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dan akan dinaik taraf pada 2027.
Mengulas lanjut, Su Fui memberitahu, naiktaraf infrastruktur sedang dilaksanakan seperti mengecilkan lorong, menambah peralatan keselamatan untuk mengurangkan hadlaju kenderaan, lintasan pejalan kaki dan memasang halangan bagi mengelakkan pejalan kaki melintas di kawasan tidak dibenarkan.
Jelasnya, DBKL juga dalam perancangan untuk membina lebih 22 kilometer (km) laluan pejalan kaki berbumbung di sekitar Kuala Lumpur.
“Ia akan dilaksanakan seawal Disember 2026 bagi menyediakan kemudahan pejalan kaki yang lebih selamat dan kondusif.
“Penguatkuasaan saman melalui kamera litar tertutup (CCTV) dalam pertimbangan untuk dilaksanakan kepada pejalan kaki yang ingkar arahan papan tanda keselamatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

