Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka Jumaat ini

Keadaan runtuhan tanah di Kilometer 27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley pada 2 Disember lalu yang mengakibatkan laluan kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.
Keadaan runtuhan tanah di Kilometer 27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley pada 2 Disember lalu yang mengakibatkan laluan kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.
A
A
A

IPOH - Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup susulan kejadian tanah runtuh hingga mengorbankan dua nyawa pada 2 Disember lalu akan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan, Jumaat ini.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja pembersihan dan pembinaan longkang oleh syarikat konsesi di kawasan runtuhan berada di peringkat akhir dan akan siap dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, kawasan bukit yang mengalami runtuhan itu juga telah direka bentuk secara bertingkat bagi mengurangkan risiko runtuhan berulang.

"Buat masa ini pihak konsesi sedang membersihkan jalan dan membina longkang aliran air tepi jalan yang runtuh itu bagi mengelakkan pergerakan tanah (kembali) berlaku, semua ini dijangka siap dalam tempoh dua hari.

"InsyaALLAH kalau tiada halangan, Jumaat ini orang ramai sudah boleh menggunakan jalan itu sepenuhnya, pembukaan membabitkan kedua-dua laluan dan semua kenderaan boleh menggunakan jalan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali.

Mohd Zolkafly (kiri) bersama Hamdan menunjukkan makluman pembukaan Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Mohd Zolkafly (kiri) bersama Hamdan menunjukkan makluman pembukaan Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan memandangkan terdapat banyak bukit dan cerun.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan sekarang kerap hujan, jadi kita minta pengguna jalan raya berhati-hati memandu demi keselamatan nyawa kerana sepanjang jalan di situ terdapat banyak bukit dan cerun," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, dua lelaki disahkan terkorban selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Insiden menyebabkan jalan itu ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan penyelenggaraan.