Permohonan Rosmah singkir hakim ditolak

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam permohonannya supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya, di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ini bermakna hakim Mohamed Zaini kekal sebagai hakim perbicaraan kes 17 pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dijadualkan berlangsung pada Januari tahun depan.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Mohamed Zaini berkata, sebagai seorang hakim, beliau dikehendaki untuk membuat pertimbangan secara berasingan, bebas dan berdasarkan bukti terhadap tertuduh.

Menurutnya, dakwaan Rosmah bahawa dia akan prejudis kerana mahkamah mungkin membuat perbandingan antara dua kes berkenaan, adalah tidak berasas.

"Apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi prosiding kes solar, mahkamah memutuskan, tiada soalan sama perlu ditanya dalam kes AMLATFPUAA.

"Apabila rujukan dibuat berkaitan kenyataan dalam kes solar, saya sangat berhati-hati agar tertuduh tidak berasa prejudis," katanya.

Selain itu beliau berkata, ketika hujahan kes sebelum ini, pihak pendakwaan juga memberi keyakinkan kepada mahkamah bahawa, isu yang ingin dikemukakan dalam kes solar, tiada dikaitkan sama sekali dengan kes pengubahan wang haram.

Beliau berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya dan mana-mana hakim untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam Geethan Ram Vincent.

Untuk rekod, Mohamed Zaini merupakan hakim perbicaraan bagi dua kes yang dipertuduhkan terhadap Rosmah.

Pertama, Rosmah, 70, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta yang mana prosiding akan bersambung pada 23 Disember ini.

Ia adalah daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu kedua, Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN yang mana prosiding itu akan dijalankan pada Januari 2022.