Jakess selesai 161 kes tuntutan selepas cerai

Mohammad Adib (tiga dari kiri) dan Salehan bersama peserta-peserta Program Sulh selepas Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan BSK di Dewan Muktamar Jakess, di sini pada Selasa.
Mohammad Adib (tiga dari kiri) dan Salehan bersama peserta-peserta Program Sulh selepas Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan BSK di Dewan Muktamar Jakess, di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berjaya menyelesaikan sejumlah 161 kes tuntutan selepas perceraian melalui Majlis Sulh yang dijalankan secara dalam talian setakat September lalu.

Datuk Mohammad Adib Husain
Datuk Mohammad Adib Husain

Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain berkata, jumlah kes tersebut melibatkan 100 kes berjaya mencapai persetujuan, 59 kes gagal dan selebihnya tidak hadir ke Majlis Sulh secara dalam talian.

Menurut beliau, kes-kes tersebut melibatkan tuntutan nafkah anak, hak jagaan anak, nafkah idah, harta sepencarian, mutaah dan yang berkaitan.

Mohammad Adib berkata, seramai 235 orang yang terdiri daripada imam masjid dan ahli jawatankuasa helwa masjid di Selangor diberi latihan untuk mengendalikan rundingan perdamaian sebagai langkah penyelesaian alternatif sebelum ke mahkamah syariah.

“Ahli Komuniti Sulh ini dibentuk sebagai tempat rujuk kepada masyarakat dan dan mungkin ada golongan wanita seperti ibu tunggal yang tidak tahu prosedur, jadi mereka berperanan untuk membantu menyediakan jalan penyelesaian kepada isu-isu ini.

"Pelaksanaan Sulh di mahkamah syariah membantu selesaikan 50 peratus kes yang berdaftar berkaitan tuntutan-tuntutan tersebut melalui Majlis Sulh.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan Rakan Sokongan Keluarga (BSK) di Dewan Muktamar Jakess, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Adib berkata, penubuhan komuniti tersebut juga menjimatkan masa mahkamah syariah untuk menyelesaikan kes-kes tuntutan selepas perceraian apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan awal di luar mahkamah.

Ujarnya, tempoh kes tertentu lazimnya mengambil masa sehingga setahun boleh dipendekkan sehingga dua bulan.

“Penyelesaian kes melalui Majlis Sulh ini memang menjimatkan masa, contohnya seperti kes harta sepencarian dan melibatkan harta yang banyak seperti rumah, kereta dan saham, perbicaraan boleh mengambil masa lebih setahun untuk diselesaikan.

“Tapi bila ada perundingan melalui Majlis Sulh ini, dan didaftar dan kita akan panggil pihak-pihak dalam tempoh 19 hari (selepas didaftarkan). Setelah ada persetujuan antara dua pihak berkenaan, mereka boleh terus dibicarakan di hadapan hakim dan terus rekod keputusan untuk dikuatkuasakan sebagai perintah mahkamah.

“Mungkin (proses perbicaraan kes) tidak sampai dua bulan atau 45 hari dan jika jadual cepat, sebutan kes boleh dipercepatkan bergantung kepada kes,” katanya.