Perkeso Kelantan bantu 721 majikan kembali bangkit

Dr Ramli (tiga dari kanan) dan Nora (kiri) bersama para penerima pada Selasa.
Dr Ramli (tiga dari kanan) dan Nora (kiri) bersama para penerima pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan berjaya membantu 721 majikan untuk kembali bangkit daripada terkesan pandemik Covid-19 menerusi insentif lebih RM13.3 juta yang disalurkan bermula 15 Jun tahun lalu.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, insentif disalurkan menerusi Program PenjanaKerjaya melalui tiga peringkat itu turut membantu 4,972 pencari kerja dan penganggur untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, program tersebut antara inisiatif kerajaan melalui Perkeso dalam memastikan kebolehpekerjaan dalam kalangan pencari kerja tempatan, penjanaan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

“Program PenjanaKerjaya bertujuan membantu para majikan mengambil atau menggaji pekerja bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka semasa pandemik Covid-19.

“Majikan yang mengambil bahagian menerusi program ini akan menerima insentif RM600 bagi setiap pekerja setiap bulan selama tempoh enam bulan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Flex Physiotherapy di Wakaf Che Yeh di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyampaikan insentif Program PenjanaKerjaya berjumlah RM54,480 membabitkan 16 pekerja kepada Pengarah Eksekutif Flex Physiotherapy, Wan Muhd Zahid Wan Zullkefli.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat.

Pada majlis sama, Nora turut menyampaikan Faedah Skim Bencana Pekerjaan kepada Orang Berinsurans iaitu seorang guru wanita, Wardah Mohamed, 57, yang mengalami patah paha kiri akibat tergelincir semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada Jun lalu dan penghantar surat, Mazulfikri Rosdi, 27, yang patah tangan serta paha kiri akibat kemalangan jalan raya semasa bertugas pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nora berkata, Flex Physiotherapy termasuk tiga daripada panel pembekal perkhidmatan rehabilitasi Perkeso Kelantan bagi Program Return-to-Work untuk proses pemulihan pekerja yang cedera atau hilang upaya akibat kemalangan sewaktu bekerja.

“Perkeso bukan semata-mata memberi pampasan kewangan kepada pekerja ditimpa musibah, keilatan dan kematian malah turut memberi fokus kepada usaha intervensi atau pemulihan pekerja supaya mereka dapat kembali bekerja.

“Sejak diperkenalkan pada 2007 sehingga 23 November ini, sejumlah 153 Orang Berinsurans yang berjaya dipulihkan dan dapat bekerja semula di Kelantan,” katanya.