Perkeso Terengganu dakwa 21 majikan degil

Farihah (kiri) menyerahkan pencen penakat kepada Nur Farahan di Kampung Pengkalan Batu. - Foto Bernama
Farihah (kiri) menyerahkan pencen penakat kepada Nur Farahan di Kampung Pengkalan Batu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu telah mendakwa 21 majikan degil atas pelbagai pertuduhan bagi tempoh 1 Januari hingga April tahun ini.

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, kesalahan termasuk gagal mendaftar atau mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut mengeluarkan 27 kompaun atas kesalahan lewat melaporkan kemalangan pekerja dalam tempoh ditetapkan yang boleh menjejaskan kebajikan pekerja atau waris.

"Tahun lepas kita dakwa 32 majikan dan keluarkan 77 kompaun atas kesalahan sama. Nilai keseluruhan denda ialah RM26,000.

"Jadi saya nak ingatkan semua majikan di luar sana supaya segera mendaftar bagi mengelak didakwa atau didenda," katanya selepas penyerahan surat pencen kepada Nur Farahan Shahdan, 32, balu kepada Allahyarham Muhammad Husaini Amir Harun, 29, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Senawang, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.

Farihah juga menasihatkan supaya majikan di negeri ini mengambil kesempatan untuk mendaftar atau mencarum pekerja serta perusahaan masing-masing sempena bulan Op Pemutihan Perkeso 2023 yang bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini.

Menurutnya, operasi kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana tempoh yang diberikan kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja lebih panjang bagi menggalakkan mereka tampil secara sukarela.

"Ini kali pertama Perkeso memberi tempoh dua bulan kepada majikan yang layak untuk tampil mendaftar atau mencarum secara sukarela.

"Malah tiada tindakan kompaun atau pendakwaan akan dikenakan walaupun majikan yang sepatutnya mendaftar pekerja mereka, didapati lewat berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika mana-mana majikan didapati masih gagal mendaftar pekerja atau perusahaan selepas tempoh Op Pemutihan Perkeso 2023, tindakan tegas akan diambil tanpa pertimbangan atau pengecualian. - Bernama