Ibu didakwa bunuh anak kandung berdepan hukuman gantung

Kaleswary (kanan) dibawa masuk oleh pegawai penyiasat untuk mengadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa
Kaleswary (kanan) dibawa masuk oleh pegawai penyiasat untuk mengadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu berdepan hukuman gantung sampat mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas pertuduhan menyebabkan kematian anak kandungnya yang berusia lima tahun pada 3 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, R Kaleswary, 33, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Kaleswary didakwa menyebabkan kematian Samsoon Paul, 5, di sebuah rumah di Taman Tan Sri Yaakob, Iskandar Puteri antara jam 9 pagi hingga 12.20 tengah hari.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga bekas pekerja pembersihan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret Nurmadiana kemudiannya menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Kaleswary bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, turut didakwa menganiaya Samsoon Paul hingga mengakibatkan berlaku kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Bagi pertuduhan itu, Kaleswary mengaku bersalah manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Fatimah Zahari.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama menganiaya Samsoon hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Fatimah Zahari kemudian menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. Bagaimanapun hukuman ke atas Kaleswary masih belum dijatuhkan kerana mahkamah belum memperolehi laporan bedah siasat.

Kaleswary tidak dibenarkan diikat jamin kerana turut menghadapi dakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara Muhammad Iskandar dibenarkan ikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin selain diperintah melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Raveena dan Chai Ing Hien manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Media sebelum ini melaporkan penahanan tertuduh dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebaik menghantar kanak-kanak itu untuk mendapatkan rawatan.

Berhubung kes itu, polis menerima makluman pada jam 12.20 tengah hari, 3 Disember lalu daripada petugas HSA mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki dengan kesan lebam dan mencurigakan.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan lebam di bahagian depan serta belakang badan yang dipercayai akibat didera.