Tiga lagi kes buli pelajar di Pahang

Kejadian buli di sekolah berasrama. Gambar hiasan
Kejadian buli di sekolah berasrama. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang telah menerima tiga laporan kes buli melibatkan tiga buah sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan tersebut termasuk membabitkan kes di sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah di Rompin.

Menurutnya, polis juga menerima laporan melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama di Lipis dan Maran.

"Pada masa ini siasatan giat dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan di mana kesemua pelajar yang terlibat telah dikenalpasti dengan bantuan pihak sekolah.

"Hasil soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian itu dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan disedari oleh keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, sebuah akhbar melaporkan kes buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan 'karung tinju' oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 3 Disember lalu apabila kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh senior mereka.

Mohd Yusri berkata, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior hingga mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan kerana menyalahguna telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

"Laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Maran yang menyatakan dia dipukul hingga lebam di perut oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama.

"Pada hari yang sama, polis juga menerima laporan ketiga daripada seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah asrama sekolah di Kuala Lipis yang memaklumkan dia telah dipukul hingga lebam dan bengkak di muka oleh beberapa pelajar kerana dituduh menghisap vape di asrama," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak keluarga pelajar yang terlibat diminta memberikan kerjasama kepada pihak sekolah serta pihak polis.

Katanya, polis Pahang akan bekerjasama dengan pihak pentadbiran sekolah terutamanya sekolah-sekolah berasrama bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membendung gejala buli dan pergaduhan ini daripada terus menjadi budaya yang tidak sihat.

"Semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Pahang juga telah diarahkan untuk memberikan perhatian berkenaan isu ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lagi kes buli, KPM tunggu laporan penuh