Peruntukan Universiti AIMST ditambah kepada RM25 juta setahun

Ismail Sabri (tujuh, kanan) ketika menghadiri Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.-Foto Bernama
Ismail Sabri (tujuh, kanan) ketika menghadiri Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.-Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta kepada RM25 juta setahun untuk Universiti AIMST mulai tahun depan daripada RM20 juta sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di sini pada Ahad.

Pengumuman itu adalah respons kepada permohonan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran yang dalam ucapannya berkata, ia bertujuan untuk membolehkan lebih ramai anak kaum India dapat melanjutkan pelajaran sekali gus mengubah nasib keluarga.

Universiti AIMST yang menawarkan jurusan perubatan, sains dan teknologi merupakan universiti swasta di bawah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), yang dimiliki MIC dan berpusat di Sungai Petani, Kedah.

Ismail Sabri juga turut mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Pembangunan Kaum India akan ditubuhkan.

Beliau berkata, menerusi Kementerian Perpaduan Negara, satu Pelan Tindakan untuk Masyarakat India (PTMI) dan akan dilancarkan dalam masa terdekat merangkumi pelbagai sasaran jangka pendek dan jangka panjang bersama agensi peneraju dan pelaksana.

"Bagi memastikan pelaksanaan yang baik dan telus, saya bersetuju dengan cadangan daripada Tan Sri Vigneswaran supaya satu Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Pembangunan Masyarakat India dibentuk.

"PTMI akan ditambah baik dari masa ke masa sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai berjumlah RM8.4 juta kepada B40 dan RM1 juta Geran Khas Prihatin (GKP) kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro.

"Hal ini termasuk (bantuan) 7.6 peratus atau 640,000 B40 daripada komuniti India dan lapan peratus bersamaan 80,000 PKS kepada PKS Mikro India. Dengan itu, komuniti India bakal menerima manfaat lebih RM600 juta daripada Bantuan Keluarga Malaysia pada tahun 2022," ujarnya.

Khusus untuk komuniti India bagi tahun hadapan, Perdana Menteri berkata sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang antara lain untuk melaksanakan program bantuan kewangan pengajian bagi komuniti India B40, program pembangunan kapasiti keusahawanan, dan juga bantuan kebajikan.

Selain itu, RM25 juta juga telah disediakan melalui TEKUN Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India dengan pembiayaan pinjaman mudah sehingga RM100,000 dan pada kadar faedah serendah empat peratus setahun.

"HRD Corp juga akan mengkhususkan sehingga RM25 juta untuk latihan kemahiran bagi belia India B40. Kementerian Pendidikan pula akan memperuntukkan RM35 juta untuk penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Saya ingin maklumkan pada tahun ini kita memberikan peruntukan yang sama rata kepada setiap sekolah sama ada sekolah kebangsaan atau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT dan lain-lain sekolah," jelasnya.

Selain Vigneswaran, turut hadir adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia serta kepimpinan tertinggi MIC. - Bernama