'Kembalikan harga bahan api segera' - Bekas KM Sabah

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee menggesa kerajaan Persekutuan mengembalikan segera harga bahan api domestik ke paras sebelum meletusnya konflik Asia Barat.
Beliau yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, penurunan ketegangan konflik dan pengakuan terbaharu daripada penasihat ekonomi kerajaan sendiri menyaksikan tiada lagi alasan bagi Putrajaya untuk terus mengekalkan kadar tinggi era peperangan tersebut.
"Pada masa ini, premium risiko perang telah lenyap dan pasaran tenaga global bertindak balas secara drastik terhadap perkembangan ini, menyaksikan harga minyak mentah dunia menjunam daripada kemuncak krisis melebihi USD110 kepada sekitar paras USD85 setong.
"Perkembangan ini sekali gus membuktikan ketepatan jangkaan pasaran yang saya kongsi dalam seminar ekonomi Dewan Perniagaan Sabah-China pada 16 Mac 2026, apabila saya meramalkan harga minyak mentah akan kembali ke paras asas pra-perang dalam tempoh tiga bulan. Arah aliran tersebut kini terbukti benar memandangkan rantaian bekalan telah kembali stabil.
"Trend penurunan harga antarabangsa ini didorong oleh bekalan konsisten dari Asia Barat, peningkatan pengeluaran baharu di Venezuela serta potensi lonjakan pengeluaran oleh negara-negara pengeluar minyak yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Teck Lee lagi, data yang didedahkan oleh Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein memperincikan bagaimana '100 hari krisis tenaga global' berjaya diharungi dengan baik, sekali gus melenyapkan sebarang baki alasan untuk mengekalkan harga domestik yang tinggi.
"Kerajaan jelas mempunyai keupayaan dari segi struktur dan fiskal untuk memberikan pelepasan kos serta-merta kepada rakyat.
"Harga bahan api yang tinggi telah membebankan rakyat biasa dan sektor perniagaan terutamanya pihak industri selama tiga bulan.
"Langkah penurunan kadar bahan api domestik secara agresif amat diperlukan sekarang memandangkan harga runcit pasaran terkenal dengan sifatnya yang tegar dan sangat sukar untuk turun," katanya.
Katanya lagi, kerajaan Persekutuan mesti bertindak sekarang bagi menamatkan bebanan yang memaksa pengeluar tempatan menanggung kos tenaga tidak kompetitif ini.
"Apabila digabungkan pula dengan kos penghantaran maritim yang tinggi dari Semenanjung Malaysia, kos pengendalian ini secara tidak langsung telah melonjakkan harga barangan keperluan asas di Sabah.
"Memandangkan konflik antarabangsa kini menunjukkan tanda-tanda akan reda, harga barangan keperluan asas tidak seharusnya dibiarkan terus melambung tinggi.
"Ruang penampan belanjawan yang disahkan oleh penasihat ekonomi kerajaan sendiri iaitu pemimpin Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mesti digunakan untuk melaksanakan penurunan drastik bagi mengembalikan harga bahan api ke paras pra-perang.
"Bantuan segera yang amat dinantikan selepas mengharungi kesukaran ekonomi selama tiga bulan ini mesti disampaikan terus kepada kilang-kilang, rangkaian logistik dan rakyat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
