Ibu bapa mangsa buli boleh ambil tindakan undang-undang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Ibu bapa kepada pelajar yang menjadi mangsa buli mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan undang-undang jenayah dan saman sivil terhadap pihak bertanggungjawab termasuk pihak sekolah.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, laporan polis perlu dibuat untuk tindakan di bawah undang-undang jenayah seperti di bawah Kanun Keseksaan untuk kesalahan yang menyebabkan kecederaan.

“Namun perlu melibatkan kecederaan fizikal. Kesan mental tidak cukup untuk membawa tindakan tuduhan jenayah. Cedera perlu dibuktikan sama ada cedera ringan atau cedera parah.

“Jika berlaku kematian, ia akan membawa tuduhan bunuh atau menyebabkan kematian secara salah.

“Selain itu, ibu bapa pelajar juga boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pelajar dengan menyaman sekolah. Tindakan sama ada atas nama guru besar atau pengetua sekolah dan kerajaan Malaysia jika melibatkan sekolah kerajaan. Jika sekolah swasta, pengetua dan sekolah tersebut perlu bertanggungjawab,” katanya.

Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah ibu bapa pelajar yang menjadi mangsa buli boleh mengambil tindakan mahkamah sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal menjelaskan, secara amnya, guru-guru dan pihak sekolah bertanggungjawab dalam memastikan pelajar selamat di sekolah termasuk mengambil tindakan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kes buli.

Artikel Berkaitan:

Mengikut rekod pada 28 September 2019, Mahkamah Tinggi Terengganu memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar sekolah itu yang menjadi mangsa buli.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan difailkan plaintif yang ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, pada 2 April 2017.