Jam 5 pagi dah beratur bayar saman

Orang ramai beratur di IPD Gombak untuk membayar saman pada Sabtu.
Orang ramai beratur di IPD Gombak untuk membayar saman pada Sabtu.
A
A
A

GOMBAK - Seawal jam 5 pagi, orang awam sudah mula beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini bagi mengambil peluang menjelaskan saman tertunggak susulan kempen pengurangan saman sehingga 80 peratus sejak Khamis lalu.

Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang pegawai polis trafik kepada Sinar Harian sewaktu diminta berkongsi sambutan yang diterima di daerah itu menerusi kempen yang dilaksanakan hingga Ahad sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Pegawai polis trafik berkenaan memaklumkan yang sambutan diterima daripada orang awam adalah di luar jangkaan hingga menyebabkan anggota bertugas tidak menang tangan.

"Kaunter saman sibuk, ada yang beritahu mereka beratur dari jam 4 ke 5 pagi untuk bayar saman. Pegawai terlibat turut membantu jika tiada kes.

"Kaunter mula dibuka pada jam 9 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh kempen berjalan, ada juga anggota ditugaskan untuk pemantauan prosedur operasi standard (SOP)," kongsinya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang penduduk Gombak, Zaid Awang, 40 berkata, niatnya untuk sama-sama merebut peluang menjelaskan saman trafik sempena pengurangan saman itu terbantut susulan orang ramai beratur panjang.

"Saya dah sampai tapi tak jadi bayar saman apabila melihat orang ramai beratur panjang. Saya dimaklumkan ada masa sistem tergendala menyebabkan urusan pembayaran saman tidak berjalan lancar.

"Disebabkan sambutan yang menggalakkan ini, saya berharap kempen ini dapat dilanjutkan bagi membolehkan orang ramai membayar saman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk Rawang, Mohd Shukri Abdullah, 41, berkata, usahanya untuk membayar saman secara dalam talian tidak berjaya apabila gagal mendaftar di aplikasi MyBayar Saman.

"Hampir 10 tahun saya tak bayar saman, apabila ada kempen pengurangan saman tersebut, saya mahu semak saman tapi tidak berjaya.

"Mungkin terlalu ramai yang cuba bayar dalam talian jadi sistemnya bermasalah. Saya cuba juga buka jam 2 pagi tapi masih tidak berjaya," katanya.

Mohd Shukri memberitahu, dia tidak bercadang untuk menjelaskan saman di kaunter trafik IPD memandangkan hampir semua lokasi diserbu orang ramai.

"Kalau benar kerajaan nak bantu rakyat bayar saman, saya mohon tempoh kempen dilanjutkan.

"Saya mohon urusan pembayaran juga dipermudah termasuk membuka kaunter bayaran di semua balai polis berhampiran supaya tidak berlaku kesesakan di IPD," katanya.