20 orang awam terbunuh dalam serangan bersenjata di Darfur, Sudan

 20 warga awam terbunuh dalam serangan bersenjata di Darfur Utara barat Sudan. - Foto AFP
20 warga awam terbunuh dalam serangan bersenjata di Darfur Utara barat Sudan. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Sekurang-kurangnya 20 warga awam terbunuh dalam serangan bersenjata di Darfur Utara barat Sudan.

Gabenornya, Nimir Abdulrahman memberitahu Agensi Anadolu bahawa penyerang yang menaiki kenderaan SUV dan motosikal bertindak melepaskan tembakan ke atas orang awam di bandar Kutum, pada Ahad malam.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai serangan terbabit, disebabkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu.

Namun, Abdulrahman tidak menolak kemungkinan bahawa serangan itu mempunyai kaitan dengan pergolakan berterusan antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan.

Sekurang-kurangnya 863 orang awam terbunuh manakala ribuan lagi cedera sejak tercetusnya konflik pada 15 April, menurut pasukan perubatan tempatan. - Bernama