Serbu IPD seawal jam 7.30 pagi bayar saman

Tawaran pengurangan kadar kompaun saman bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) menyebabkan kaunter bayaran saman di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sembilan diserbu.
Tawaran pengurangan kadar kompaun saman bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) menyebabkan kaunter bayaran saman di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sembilan diserbu.
A
A
A

SEREMBAN - Tawaran pengurangan kadar kompaun saman bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) menyebabkan kaunter bayaran saman di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sembilan diserbu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya dimaklumkan ada yang datang ke IPD seawal jam 7.30 pagi untuk membayar saman.

"Kita dapati kehadiran orang ramai pada hari ini (Sabtu) di semua IPD agak luar biasa berbanding pada hari pertama dan kedua program ini bermula.

Mungkin disebabkan cuti.

"Kaunter paling sibuk ialah di IPD Seremban.

Kita ada sediakan khemah, tapi disebabkan orang ramai mereka terpaksa beratur sehingga luar pagar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun kata beliau, semuanya dalam keadaan terkawal dan masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjelaskan saman secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun tak tahu kenapa ramai memilih untuk bayar di kaunter sedangkan boleh bayar secara dalam talian.

"Setakat yang saya dimaklumkan di kaunter-kaunter di semua IPD tiada masalah, tapi orang ramailah dan mereka perlu menunggu lama," katanya.

Mohamad turut menjangkakan kehadiran orang ramai ke kaunter bayaran saman di semua IPD akan lebih meningkat pada Ahad yang merupakan hari terakhir tawaran.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di IPD Seremban mendapati, orang ramai beratur sehingga 100 meter untuk membayar saman.

Orang ramai sanggup beratur panjang di luar IPD Seremban untuk menikmati tawaran pengurangan kadar kompaun saman bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).
Orang ramai sanggup beratur panjang di luar IPD Seremban untuk menikmati tawaran pengurangan kadar kompaun saman bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Kakitangan swasta, Aisyah Tamin, 40, berkata, dia sanggup beratur panjang kerana tidak mahu melepaskan peluang 'diskaun' saman yang ditawarkan.

"Saya ada empat saman. Rugilah kalau saya tak ambil peluang ini kerana jika tidak saya perlu bayar lebih RM500.

"Saya cuba bayar dalam talian.

Tapi susah nak dapat, mungkin sistem sibuk," katanya.

Selain itu peniaga, Ali Iman Abdul Wadi, 29, berkata, dia beratur hampir satu jam untuk menjelaskan tujuh samannya.

"Masa saya datang jam 2.30 petang itu pun orang dah ramai beratur.

Tapi saya gagahkan juga diri sebab nak bayar saman.

"Harapnya tempoh tawaran diskaun ini dapat dilanjutkan kerana bila orang serbu IPD ramai-ramai pun tak bagus juga dalam keadaan pandemik Covid-19 ini," katanya.