Pas tidak akan gadai dasar perjuangan: Idris

 Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak akan menggadaikan dasar perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dalam pemerintahan negara menerusi pendekatan politik yang digunakan, kata Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, sejak penyertaan Pas dalam pentas demokrasi negara pada 1951, pimpinan parti tersebut sentiasa menyesuaikan pendekatan politik tanpa menjejaskan dasar utama yang ditetapkan.

Katanya, pelbagai siri kerjasama politik dijalankan sepanjang tempoh tersebut bertujuan untuk mencapai kestabilan politik negara dan penyatuan ummah.

“Antara sejarah kerjasama politik Pas ialah kerajaan campuran Pas dan Perikatan pada 1973, Barisan Nasional (1974), Semangat 46 (1987), Barisan Alternatif (1999 hingga 2004), Pakatan Rakyat (2008), Gagasan Sejahtera (2018), Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional sehingga kini.

“Setiap zaman ada cabaran. Alhamdulillah, dengan hikmah dan kebijaksanaan pimpinan Pas menyesuaikan pendekatan tanpa menggadai walau seinci akidah dan roh perjuangan mendaulatkan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dipercayai bagi mengulas mengenai situasi semasa kerjasama yang dijalinkan oleh partinya bersama dengan UMNO di bawah gabungan Muafakat Nasional.

Ketidaktentuan yang berlaku dalam gabungan tersebut dilihat berterusan selepas Pilihan Raya Negeri Melaka dengan pimpinan daripada kedua-dua parti saling membalas kenyataan berkenaan masa depan Muafakat Nasional.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya sebelum ini berkata, UMNO dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar dalam kancah politik negara.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Disember lalu secara tersirat menyatakan UMNO perlu bijak dalam mentafsir muafakat yang jujur berbanding dengan sebuah muafakat yang terselindung dengan tipu daya.

Katanya, ini berikutan ada pihak mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam Muafakat Nasional.