'Saya tidak tamak'

Wee Hong Seng
Wee Hong Seng
A
A
A

KUCHING - Datuk Wee Hong Seng, yang berdepan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berazam mengembalikan kegemilangan silam kawasan tu sebagai daerah komersial.

Selain itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu mahu memanfaatkan kekayaan sejarahnya untuk menjadikan ia sebuah tempat yang menarik kepada pelancongan dan merancakkan semula sektor perniagaan.

“Aspek ekonomi membimbangkan dan saya sering berkunjung di sana dan melihat banyak rumah kedai ditutup. Sebaik sahaja perniagaan pulih...satu cabaran untuk menarik perniagaan baharu ke situ,” katanya.

Datuk Bandar Kuching Selatan selama dua penggal berusia 59 tahun itu, bagaimanapun, tidak menyentuh saingan utamanya dalam pertandingan empat penjuru untuk merampas kerusi Padungan apabila melancarkan manifesto lima perkara pada Jumaat.

Beliau menggariskan agenda pembangunan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Padungan serta mempertingkatkan sistem penjagaan kesihatan, keselamatan dan rancangan transformasi pendigitalan.

Pada hari penamaan calon Isnin lalu, Chien Jen, yang memilih bertanding di Padungan selepas menjadi penyandang kerusi DUN Kota Sentosa sejak 2006, berkata Hong Seng tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya itu dan sebaliknya memberi tumpuan sebagai Datuk Bandar.

Pada PRN12, 18 Disember ini, Hong Seng merupakan salah seorang daripada dua Datuk Bandar dicalonkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah kerajaan negeri.

Seorang lagi ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii bagi DUN Pujut.

Artikel Berkaitan:

Padungan berada di bawah pembangkang selama 15 tahun dengan DAP mendominiasi kerusi itu selama dua penggal terakhir selepas PKR menang pada tahun 2006.

Poster calon GPS dinaikan di Padang Merdeka berlatar belakang pokok kekabu berusia 93 tahun yang masih teguh berdiri ketika tinjuaan sempena PRN Sarawak ke-12. - Foto Bernama
Poster calon GPS dinaikan di Padang Merdeka berlatar belakang pokok kekabu berusia 93 tahun yang masih teguh berdiri ketika tinjuaan sempena PRN Sarawak ke-12. - Foto Bernama

“Saya tidak cuba untuk menjadi tamak...ini masih dalam jangkauan saya. Saya masih boleh menyumbang dan ini bukan tugas sama ada oleh seorang Datuk Bandar atau ahli Yang Berhormat. Anda mesti membentuk satu pasukan untuk menjayakan misi. Jika hanya bergantung kepada seorang sahaja, tiada apa boleh dicapai,” kata Hong Seng.

Sebagai calon, katanya, beliau perlu melihat dengan serius apa yang boleh dilakukan untuk pengundi dan rancangan masa depan untuk 92 peratus kawasan penduduk kaum Cina di situ.

“Kami tidak boleh meminta seseorang itu untuk mengundi anda jika kami tidak mempunyai perancangan yang betul untuk masa depan mereka. Berdasarkan masa lalu, ketika ini dan masa depan, biarkan pengundi membuat pilihan calon mereka. Biar pilihan raya ini bersih dan adil tanpa menyerang satu sama lain,” katanya.

Hong Seng menyangkal persepsi bahawa pengundi Cina akan memilih pembangkang di kawasan bandar kerana kawasan mereka akan terus menikmati pembangunan.

“Saya tidak fikir itu benar. Terdapat perbezaan antara pembangunan oleh kerajaan dan swasta dan di Padungan tidak ada banyak tanah kosong persendirian tinggal...tiada tapak tanah lebih daripada 10 ekar. Tetapi masih ada banyak tanah kerajaan dan kita harus ada cadangan dan idea untuk memulihara warisan dan juga memberi nafas baharu untuk memulihkan semula denyutan nadi Padungan,” katanya.

Hong Seng teruja Padungan dapat memgambil manfaat daripada status Kuching sebagai bandaraya pertama di Malaysia diiktiraf UNESCO dalam rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi.

Beliau berkata, Padungan memiliki aktiviti hiburan malam hari yang meriah dan kini suasana bertukar suram. Bagaimanapun, beliau melihat beberapa kafe berjenama Sarawak mula bertapak di kawasan itu dan ia memerlukan penambahbaikan aspek keselamatan dan pencahayaan awam.

Sejak padungan jatuh ke tangan pembangkang, Hong Seng dilihat sebagai calon paling berwibawa yang dipertaruhkan oleh SUPP untuk merampas kerusi tersebut.

Saingan empat penjuru itu turut disertai oleh Raymond Thong Ee Yu daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Soo Lina mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Padungan mempunyai 20,949 pemilih berdaftar dan pada PRN11 lalu pada 2016, wakil DAP, Wong King Wei mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,270 undi. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my