Bersatu perlu tarik diri, beri sokongan penuh kepada GPS

Willie pada sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Serian pada Jumaat.
Willie pada sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Serian pada Jumaat.
A
A
A

SERIAN - Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menggesa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 supaya menarik diri.

Setakat ini masih ada tiga lagi ahli Bersatu selepas Datuk Ali Biju menarik diri daripada bertanding mempertahankan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Mereka ialah Siki Balarik bertanding di DUN Belaga, Ricky Enteri (Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (Muara Tuang).

Katanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku semasa PRN12 atas nasihat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita di peringkat parti perlu mendengar nasihat beliau (Muhyiddin) iaitu memberi sokongan dan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memenangi pilihan raya kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini pada Jumaat.

Willie menjelaskan, keputusan Bersatu tidak bertanding pada PRN12 merupakan perjanjian antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Sehubungan itu, kita perlu lihat kerjasama antara kedua-dua parti yang mampu membawa kepada kestabilan politik sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II menjelaskan, beliau bersungguh-sungguh membantu dan menyokong sepenuhnya perjuangan calon GPS di bawah Parlimennya iaitu Tarat, Serembu dan Mambong.

"Itu merupakan pendirian saya untuk menyokong GPS dan sentiasa hormat keputusan parti," ujar beliau.

Ditanya mengenai tanggapan pendirian parti adalah tidak adil bagi Ali, Willie menjelaskan dalam politik perkataan keadilan ini hampir tidak ada.

"Sebenarnya dalam politik, keadilan itu amat retorik dan kita sebagai ahli politik akan memartabatkan dan memperkasakan retorik itu supaya menjadi kenyataan," tegasnya.

Beliau percaya Ali tidak sepatutnya ditidakkan dalam mempertahankan kerusi di kawasannya.

"Bagaimanapun, kita kena lihat menerusi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang luas mengenai senario politik pada masa hadapan," ujarnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my