PRN Sarawak: Keputusan Ali Biju disambut baik Bersatu Sarawak

Ali Biju
Ali Biju
A
A
A

KUCHING - Keputusan Datuk Ali Biju menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 disambut baik kepimpinan tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak.

Pengerusi Badan Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, keputusan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian itu selaras keputusan Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, Bersatu Sarawak berbesar hati dengan keputusan Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak demi kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Meskipun agak sukar bagi Ali tetapi keputusan beliau dipandang tinggi oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Bersatu Sarawak. Kita amat menghargai keputusan dan pengorbanan yang dilakukannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, tindakan Ali wajar dijadikan contoh dan tauladan kepada semua ahli politik kerana keberanian demi kestabilan politik dan perjuangan lebih besar untuk kesejahteraan rakyat Sarawak.

Katanya, prinsip dan keluhuran Ali perlu dijadikan tunjang perjuangan dalam membentuk kejayaan Bersatu Sarawak dan politik Sarawak secara amnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar GPS sekali lagi diberi mandat dalam PRN kali ini untuk menabur bakti kepada penduduk Sarawak, sekali gus meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak: Ali Biju tarik diri, beri laluan kepada calon GPS

Artikel Berkaitan: