ATM pertingkat kesiagaan, keselamatan pantai timur Sabah

Hishammuddin ketika sidang media di Wisma Perwira pada Jumaat. - Foto Bernama
Hishammuddin ketika sidang media di Wisma Perwira pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kawalan keselamatan ke tahap yang paling tinggi berikutan laporan media yang mendakwa terdapat pihak dari negara Filipina yang berkomplot untuk menceroboh Negeri Di Bawah Bayu itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menambah jumlah anggota tentera dan juga aset-aset di negeri berkenaan.

“Kita mesti bersandarkan fakta-fakta yang telah pun dikolaboratifkan. Ada pengesahan dan kerjasama rapat antara Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga agensi-agensi keselamatan lain.

“Sekiranya maklumat yang kita terima memerlukan atur gerak, saya rasa tidak ada masalah untuk kita lakukannya. Tetapi setakat hari ini belum ada keperluan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Perwira ATM, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, beliau juga telah dimaklumkan pihak ATM tiada petunjuk ketara atau bukti kukuh atas laporan sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.

Beliau berkata, seperti yang ditegaskan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga sudah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses pengesahan dengan agensi sejawat mereka di Filipina serta serantau seperti yang dinyatakan oleh Acryl Sani dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada Khamis.

“Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM juga sentiasa memantau perkembangan yang sedang berlaku dan menilai petunjuk yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Sabah tidak perlu bimbang dengan dakwaan pencerobohan tersebut.

“Secara peribadi, Lahad Datu masih lagi merupakan pengajaran bagi kita.

"Apa jua maklumat orang ramai yang boleh membantu kita sama ada mengesahkan apa yang dilaporkan itu akan kita terima dan akan kaji teliti secara dekat," ujarnya.