Nelayan cuba seludup 40kg syabu ditahan

Nurul Hizam (tengah) menujukkan bungkusan dadah disyaki syabu yang dirampas dalam serbuan di Jeti Parit Jawa, Batu Pahat pada Khamis.
Nurul Hizam (tengah) menujukkan bungkusan dadah disyaki syabu yang dirampas dalam serbuan di Jeti Parit Jawa, Batu Pahat pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 40 kilogram (kg) dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Jeti Parit Jawa, di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan dua nelayan tempatan yang juga lelaki berusia 45 dan 48 tahun dalam sebuah bot nelayan kelas A.

Katanya, serbuan dibuat hasil maklumat risikan dan intipan yang berterusan terhadap aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah melalui perairan melibatkan bot-bot nelayan tempatan.

“Dalam operasi kira-kira jam 7.00 petang itu, kita telah menahan dua suspek dan pemeriksaan dalam bot dinaiki mereka menemukan satu karung guni putih mencurigakan yang disembunyikan di bawah alat kemudi bot berkenaan.

“Dalam karung itu terdapat sejumlah 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu yang setiap satunya dianggarkan seberat lebih satu kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Batu Pahat, di sini pada Jumaat.

Nurul Hizam berkata, kedua-dua suspek juga mengakui dadah berkenaan dalam proses transit ke lokasi lain sebelum dibawa ke negara jiran.

“Keseluruhan barangan rampasan termasuk 40kg dadah jenis syabu, bot nelayan tempatan kelas A, satu unit enjin 24 kuasa kuda, satu telefon bimbit dan wang tunai RM1,706 yang menjadikan nilai keseluruhan kira-kira RM2.032 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: