Kluster industri: Gagal patuh SOP disyaki punca penularan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di tempat kerja serta aktiviti rekreasi melibatkan kumpulan pekerja disyaki sebagai punca penularan jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja kilang di Mukim Padang Meha, Padang Serai, Kulim dan ahli keluarga mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, penularan itu mencetuskan kluster industri iaitu Kluster Dah Meha Industri Kulim yang setakat jam 12 tengah hari Khamis, seramai 133 individu dikesan positif virus itu.

“Ia melibatkan 97 orang pekerja dan 36 orang kontak keluarga. Taburan kes positif melibatkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik. Kluster ini dikesan berikutan saringan kendiri yang dijalankan oleh pihak pengurusan kilang berkenaan.

“Kesemua kes adalah bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi, kini diarahkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kes jangkitan adalah terkawal dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster tersebut.

Menurutnya pihak pengurusan kilang juga telah diarahkan supaya mengemas kini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang berkenaan.

Sementara itu, Othman menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang telah digariskan iaitu memakai pelitup muka dengan sempurna di tempat kerja dan tempat awam serta mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa.

“Kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan, elakkan daripada bersentuhan dan bersembang dekat, hindari kawasan sesak dan ruang sempit, pastikan pengudaraan yang baik di tempat kerja dan rumah, dapatkan imunisasi Covid-19 dan amalkan gaya hidup sihat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: