214 kemalangan di tempat kerja direkodkan sehingga Jun

Tiga sektor pekerjaan utama didapati kerap berlaku kemalangan ialah sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. - Gambar hiasan
Tiga sektor pekerjaan utama didapati kerap berlaku kemalangan ialah sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 214 kes kemalangan di tempat kerja melibatkan pelbagai sektor pekerjaan direkodkan di Melaka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 380 kes kemalangan termasuk dua maut dicatatkan, tahun lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah 214 kes itu, sebanyak satu kes maut, empat hilang upaya kekal dan 209 kes tidak hilang upaya kekal.

Beliau berkata, tiga sektor pekerjaan utama didapati kerap berlaku kemalangan ialah sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

"Kita berharap kadar kemalangan di tempat kerja ini akan berkurang menjelang akhir tahun ini dengan pelbagai program kesedaran dan penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)," katanya pemberita selepas melancarkan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Melaka di sini, pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah JKKP negeri, Supian Alias.

Hee Sem berkata, agenda memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan usaha berterusan semua pemegang taruh termasuk majikan antaranya melaksanakan bengkel atau kursus berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKKP Melaka menjalankan beberapa operasi penguatkuasaan peraturan berkaitan kesihatan pekerjaan seperti Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan dan Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya di 15 premis tempat kerja melibatkan sektor pembuatan sepanjang tempoh enam bulan pertama ini.

"JKKP juga akan menjalankan Operasi Bising dan ia membabitkan 60 tempat kerja di negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan digariskan dalam mengendalikan sektor pekerjaan berkenaan mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Katanya, pada tahun ini, JKKP Melaka juga menyasar untuk menjalankan audit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di 25 tempat kerja sektor awam dan 269 tempat kerja sektor swasta antaranya penguarian, pertanian, perkhidmatan kebersihan, kemudahan (elektrik, gas dan air), pengangkutan, hotel dan kewangan. - Bernama