Perak umum Belanjawan RM1.1 bilion

Saarani menunjukkan buku Bajet Perak 2022 yang dibentangkan ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di Ipoh pada Jumaat.
Saarani menunjukkan buku Bajet Perak 2022 yang dibentangkan ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengumumkan Belanjawan 2022 berjumlah RM1.1 bilion di bawah tema yang sama pada tahun lalu iaitu Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif.

Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun lalu yang berjumlah RM1.215 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan Belanjawan 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.

Beliau berkata, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai bajet defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan.

"Kerajaan negeri menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan negeri kekal teguh untuk mengharungi bulan-bulan mendatang yang penuh ketidaktentuan tanpa mengabaikan tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara," katanya ketika membentangkan Bajet Perak 2022 ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, bagi mengukuhkan strategi merancakkan semula ekonomi negeri, dana pembangunan tambahan melalui Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM47 juta telah disediakan.

Beliau berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera (PRE Perak Sejahtera), sekali gus jumlah keseluruhan peruntukan dan dana bagi maksud pembangunan negeri pada tahun hadapan ialah RM349 juta.

Menurutnya, belanjawan itu juga akan didukung oleh komitmen kewangan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam program kesejahteraan rakyat termasuk bidang pendidikan, pertanian dan keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam menjana semula ekonomi dan mengupayakan sara diri rakyat, sektor pelancongan diberikan tumpuan dengan pemberian peruntukan sebanyak RM7.8 juta meliputi RM5 juta kepada Tourism Perak dan RM500,000 untuk pelbagai program pelancongan.

Selain itu, jelas beliau, sebanyak RM1.8 juta akan disediakan untuk 'People of Remarkable Talent' (PORT) dan RM500,000 kepada Majlis Kebudayaan Negeri untuk menyokong program-program pelancongan dan kebudayaan.

"Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM51.4 juta kepada industri asas tani kepada Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga merancang dan menyediakan kerangka atau ekosistem holistik bagi pembangunan keusahawanan dengan menyediakan dana sebanyak RM3.5 juta kepada usahawan.

"Daripada jumlah ini, RM2 juta diperuntukkan khusus untuk Tabung Usahawan dan RM1.5 juta untuk pelbagai program di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

"Ini tidak termasuk dana-dana tambahan daripada tabung pusingan Yayasan Perak berjumlah RM1.5 juta dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) sebanyak RM4.1 juta," ujarnya.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk meneruskan bantuan Kad Perak Prihatin dengan peruntukan RM22.8 juta.

Katanya, ia akan memanfaatkan seramai 20,000 orang penerima dalam bentuk Kad Makanan pada kadar RM80 sebulan, manakala Kad Kesihatan pada kadar RM150 setahun selain meneruskan program bantuan Kotak Makanan dengan peruntukan RM3 juta.

Dalam usaha membantu 250 orang pelajar di Perak yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan Covid-19, beliau berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak tersebut sehingga berusia 21 tahun.

Bagi projek prasarana negeri pula, Saarani berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM65.6 juta; antaranya bagi projek baik pulih dan naik taraf masjid serta surau, pelbagai projek pembangunan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), menaik taraf infrastruktur tahfiz dan sekolah agama rakyat serta pelbagai projek lagi.