X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Tahap keselamatan, kesiapsiagaan di Sabah pada tahap tertinggi

Acryl Sani Abdullah Sani
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kesiapsiagaan pasukan berkenaan di Sabah berada di tahap tertinggi untuk menjamin keselamatan negeri tersebut dari sebarang ancaman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum laporan beberapa media yang melaporkan berkenaan ada pihak dari negara Filipina yang berkomplot untuk menceroboh Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.

"PDRM memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.

"PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebuah portal berita antarbangsa pada Khamis melaporkan berkenaan perancangan rahsia 19 orang datuk bandar di negara Filipina untuk merekrut seramai 600 anggota untuk merisik dan menceroboh kawasan persisiran di Sabah.

Menurut laporan media tersebut, difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang dimanipulasi oleh pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara negeri Sabah dan Wilayah Selatan Filipina.

"Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan," jelasnya.

Tambahnya, sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan dikendalikan dengan tegas.

"PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan ambil serius dakwaan rancangan serangan tentera Sulu di Sabah


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!