'Ayah pergi ketika mahu solat Asar'- Anak Idrus Ibrahim

BUKIT MERTAJAM - Pemergian abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Idrus Ibrahim, 83, pada petang Khamis mengejutkan ahli keluarganya apabila Allahyarham disedari telah menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur di kediamannya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun di sini.
Menurut anak Allahyarham, Aida Rafizah, 54, bapanya dipercayai bersedia untuk menunaikan solat Asar berdasarkan keadaan kain pelikat yang diletakkan di atas badannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, Allahyarham tidur selepas menunaikan solat Zohor dan tiada sebarang petanda luar biasa ditunjukkan sebelum itu.
“Arwah tidur selepas Zohor. Saya rasa dia nak bangun solat Asar sebab saya nampak dia macam sudah bersedia, kain pelikat pun diletakkan di atas badan.
“Biasanya arwah tidak buat macam itu, jadi memang tidak sangka langsung,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga pada Khamis.
Aida yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, ketika kejadian hanya dia dan ibunya berada di rumah, manakala kali terakhir mereka berbual adalah ketika makan tengah hari bersama.
Menurutnya, Allahyarham ketika itu hanya menikmati sedikit buah kiwi dan tepung bungkus serta tidak mengambil nasi kerana selera makannya semakin berkurangan sejak sekian lama.
“Arwah makan sikit saja. Sekarang memang kurang makan dan tidak berselera, sudah lama macam itu,” katanya.
Mengulas keadaan kesihatan bapanya, Aida berkata, Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital tahun lalu selepas mengalami serangan jantung, namun keadaan itu tidak terlalu serius.
Katanya, dalam tempoh dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, Allahyarham tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius atau perlu menerima rawatan di hospital, sebaliknya hanya menjalani pemeriksaan berkala.
“Arwah tidak ada sakit teruk. Hanya buat pemeriksaan berkala di hospital,” katanya.
Tambahnya, Allahyarham kelihatan seperti biasa ketika makan tengah hari dan langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
“Tak sangka, tak rasa apa-apa dan tak duga langsung.
“Arwah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara,” katanya.
Menurut Aida, walaupun kekuatan kaki Allahyarham semakin berkurangan disebabkan faktor usia, bapanya masih mampu menguruskan diri sendiri termasuk bangun dan berjalan tanpa bantuan.
“Arwah boleh urus diri sendiri macam biasa. Bangun dan berjalan pun boleh, cuma kakinya tidak begitu kuat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Allahyarham merupakan anak kedua daripada lapan beradik selepas abang sulung mereka meninggal dunia sebelum ini.
Katanya, selepas pemergian Allahyarham, tiga lagi adik-beradik masih hidup termasuk Anwar.
“Allahyarham mempunyai empat anak dan saya merupakan anak kedua. Abang berada di Kuala Lumpur manakala dua adik lagi di Johor.
“Yang lain semua sedang dalam perjalanan balik,” katanya.
Allahyarham turut meninggalkan 10 orang cucu.
Jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah selepas solat Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

