Lapangan Terbang Pangkor dijangka beroperasi semula 22 Januari

Lapangan Terbang Pangkor di Pulau Pangkor, dekat sini, dijangka beroperasi semula pada 22 Januari tahun hadapan.
Lapangan Terbang Pangkor di Pulau Pangkor, dekat sini, dijangka beroperasi semula pada 22 Januari tahun hadapan.
A
A
A

LUMUT - Lapangan Terbang Pangkor di Pulau Pangkor, dekat sini, dijangka beroperasi semula pada 22 Januari tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, lapangan terbang berkenaan yang sepatutnya beroperasi pada 1 Disember lepas terpaksa ditunda tarikhnya dan dijangka beroperasi semula dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

"Mereka (pengendali lapangan terbang) mempunyai masalah permission (kebenaran) daripada pihak kementerian. Saya juga sudah berbincang dengan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan persediaan telah dibuat dan mereka boleh menerima pesawat ke lapangan terbang berkenaan.

"Kita tiada pengesahan lagi berapa jumlah penerbangan tetapi kemungkinan tiada penerbangan hari-hari dan mungkin empat kali seminggu," katanya selepas merasmikan pelancaran Lesen Premis Digital (MyPatil) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Dewan Merdeka MPM di sini pada Khamis.

Hadir sama, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh.

Nolee Ashilin berkata, kemudahan penerbangan dilihat mampu membantu dan merancakkan semula industri pelancongan daripada segmen pelancong yang berbeza termasuk pelancong antarabangsa.

"Kesemua operator perhotelan serta pelancongan di Pulau Pangkor sudah bersedia dan kembali beroperasi sepenuhnya menjelang Januari depan.

"Malah, mengikut maklumat yang kita terima, sejak 1 Disember lalu, tempat penginapan seperti hotel sudah ditempah sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Shamsul Hazeman berkata, MPM menjadi pihak berkuasa tempatan yang pertama membangunkan MyPatil di Malaysia yang berasaskan teknologi pintar bagi menggantikan kaedah lesen konvensional dalam bentuk kertas dan papan lesen di premis perniagaan.

Katanya, MyPatil dibangunkan bagi memudahkan urusan pembaharuan lesen perniagaan serta pembayaran kompaun dan cukai taksiran dalam talian selain menjimatkan masa peniaga kerana tidak perlu berurusan di kaunter perkhidmatan MPM sekali gus membendung penularan Covid-19.

"Tujuan MyPatil ini dibangunkan juga adalah untuk mewujudkan persekitaran perniagaan digital dalam membantu peniaga dan mengembangkan perniagaan dari segi pengiklanan dan operasi harian.

"Faedah MyPatil kepada bahagian penguatkuasaan pula adalah dapat memudahkan rondaan pihak penguat kuasa dan tidak perlu membawa pelbagai peralatan, sebaliknya hanya menggunakan telefon mudah alih selain mempercepatkan aktiviti rondaan," katanya.

Shamsul Hazeman berkata, sebanyak 3,289 peranti pintar MyPatil telah dipasang di premis perniagaan di sekitar daerah Manjung sejak 10 November lepas. - Bernama