PRN Sarawak: GPS pertama kali bertanding atas tiket sendiri

Abang Johari (kiri) menyerahkan buku manifesto GPS kepada Kui Hian.
Abang Johari (kiri) menyerahkan buku manifesto GPS kepada Kui Hian.
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) melakar sejarah apabila buat pertama kalinya bertanding atas tiket sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan datang.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hanya gabungan parti anak Sarawak yang akan terlibat di dalam GPS kali ini tanpa campur tangan dan pengaruh dari Semenanjung Malaysia.

“GPS sentiasa bersedia menghadapi PRN12 kerana mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang dan berjaya mentadbir Sarawak mengikut acuan sendiri.

"Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, GPS tidak hanya menunggu pilihan raya untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan bagi membela nasib dan memajukan sosio ekonomi rakyat.

“Segala keputusan yang dibuat adalah tanpa merujuk kepada mana-mana komponen parti di peringkat Persekutuan,” katanya ketika melancarkan Manifesto GPS di Pusat Konvensyen BorneoKuching (BCCK), di sini, malam Rabu.

Katanya lagi, GPS merupakan satu-satunya platform terbaik bagi meneruskan pembangunan dalam suasana politik yang stabil dan kekal harmoni di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

“GPS menggabungkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan parti politik anak Sarawak yang unggul mewakili semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Sehubungan itu, GPS bertekad akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan dan kesejahteraan di bumi Sarawak ini,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abang Johari turut menekankan bahawa GPS berjaya menjalankan amanah untuk membawa pembangunan di Sarawak bagi meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lepas.

"Ini terbukti dengan kejayaan yang telah kita capai dalam pelbagai sektor, khususnya dalam pembangunan sosio ekonomi, penyediaan kemudahan infrastruktur asas dan sosial serta menjaga kebajikan seluruh rakyat Sarawak," tambahnya lagi.

Pelancaran 34 manifesto GPS itu dihadiri pemimpin-pemimpin GPS lain iaitu Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, pemangku Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum, wakil Presiden PDP, Datuk Anthony Nogeh anak Gumbek, Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my