E-review, sidang video mudahkan pengurusan kes mahkamah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan Badan Kehakiman iaitu e-Review dan sidang video dapat membantu peguam dan pihak terlibat lain dalam mengurus dan mengendalikan kes mereka secara mudah, cekap serta cepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong.

Vui Keong berkata, selain memberi dimensi baharu kepada imej Badan Kehakiman, perkhidmatan yang disediakan itu juga dapat menjimatkan masa dan kos pihak yang terlibat dalam sesuatu kes di mahkamah.

"Mungkin akan berhadapan dengan masalah teknikal sedikit sebanyak pada peringkat permulaan ini, tetapi akan ada penambahbaikan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah.

Vui Keong berkata, untuk permulaan perkhidmatan e-Review dan sidang video itu akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Pulau Pinang dan kedua-dua perkhidmatan itu diberi percuma selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei tahun ini.

Selepas tempoh itu hanya perkhidmatan e-Review sahaja yang akan diberikan secara percuma manakala sidang video akan dikenakan bayaran.

E-Review adalah modul dalam talian yang membolehkan pengurusan kes dikendalikan tanpa perlu hadir secara fizikal di mahkamah dan ia selari dengan objektifnya iaitu untuk mengurangkan kehadiran peguam secara fizikal serta menjimatkan kos dan masa.

Sidang video pula adalah perkhidmatan yang membolehkan perbicaraan dijalankan secara maya walaupun hakim dan peguam berada di lokasi yang berbeza dan selain menjimatkan kos cara ini juga dapat mengurangkan masa menunggu bagi pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Antara ciri perkhidmatan sidang video ini ialah setiap perbicaraan yang dilakukan secara sidang video akan direkodkan untuk rujukan masa hadapan.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Malanjum berkata perkhidmatan e-Review lebih kepada pengurusan kes yang dikendalikan dalam kamar hakim.

"Tetapi... boleh juga jadi open court (mahkamah terbuka) terpulang kepada pihak yang terlibat," katanya dan menambah sekiranya mempunyai peruntukan yang mencukupi perkhidmatan itu akan dilaksanakan ke kawasan Pantai Timur. - Bernama