GPS berjaya tadbir Sarawak tanpa rujuk parti peringkat Persekutuan

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi ucapan pada pelancaran majlis pecah tanah pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi ucapan pada pelancaran majlis pecah tanah pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mentadbir Sarawak mengikut acuan sendiri selain membuat keputusan tanpa merujuk mana-mana komponen parti di peringkat Persekutuan.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sepanjang 58 tahun merdeka melalui penubuhan Malaysia, Sarawak telah menempuh pelbagai pengalaman dalam perjalanan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, pengalaman politik dalam tempoh lebih daripada setengah abad ini telah menjadikan Sarawak lebih matang.

“Susulan daripada krisis kepimpinan di peringkat Persekutuan pada 2018, kita telah mengambil langkah sangat drastik dan berani dengan menubuhkan GPS pada 12 Jun 2018.

“Sarawak memerlukan satu gabungan parti politik anak Sarawak yang kuat dan bersatu bagi berjuang membela nasib rakyat Sarawak tanpa dikawal dan dipengaruhi oleh parti-parti politik luar,” katanya semasa berucap melancarkan manifesto GPS bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Rabu malam.

GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), malam ini memperkenalkan manifesto bertema ‘Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak’.

“GPS adalah satu-satunya platform terbaik bagi rakyat Sarawak yang inginkan pembangunan yang berterusan dalam suasana politik yang stabil dan rakyat dapat hidup dengan harmoni, aman damai serta hormat menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Abang Johari berkata, GPS telah menjalankan amanah untuk membawa pembangunan di Sarawak bagi meneruskan mandat yang telah diberikan rakyat dalam pilihan raya yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, GPS juga telah melaksanakan lebih 100 inisiatif ‘game changer’ untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi Sarawak yang mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat Sarawak.

Jelasnya antara projek-projek strategik berskala besar yang sedang dalam pelaksanaan termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 786 km dengan kos RM16.1 bilion yang dijadualkan siap pada 2023.

“GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak. Usaha membangunkan Sarawak hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Sarawak melalui PRN Sarawak.

“Masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my