NAM mesti kekal berkecuali, tidak memihak mana-mana kuasa besar

Zambry Abdul Kadir - Foto Bernama
Zambry Abdul Kadir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia percaya Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) akan terus memainkan peranan dengan lebih berkesan, dinamik dan progresif terhadap isu-isu di peringkat serantau dan global dalam kalangan negara-negara anggota, sekiranya NAM kekal dengan prinsip-prinsip penubuhannya yang berkecuali.

NAM perlu kekal relevan dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar selaras dengan prinsip asas NAM dan tidak boleh mengetepikan kebimbangan dan kepentingan negara-negara anggota dalam menegakkan prinsip NAM.

Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Khamis, perkara itu antara intipati kenyataan negara yang disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (CoB-NAM) peringkat Menteri Luar Negeri yang berlangsung di Baku, Azerbaijan pada Rabu.

Malaysia juga menggariskan pentingnya kerjasama dalam kalangan negara anggota NAM bagi mengatasi cabaran yang dihadapi dan menerapkan nilai kepercayaan, saling menghormati dan persefahaman.

Menurut kenyataan itu, Malaysia telah menzahirkan kekecewaan ASEAN terhadap NAM atas keengganannya menerima cadangan ASEAN berhubung Laut China Selatan dalam Dokumen Akhir Mesyuarat, yang telah berpanjangan selama hampir 10 tahun.

Keberanian Malaysia yang lantang menyuarakan kritikan terhadap NAM ini telah mendapat sokongan daripada wakil negara-negara anggota NAM yang hadir termasuklah dalam kalangan negara-negara ASEAN.

"Malaysia turut menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kebencian dan tindakan melampau di negara-negara tertentu termasuklah kes pembakaran al-Quran di Sweden. Malaysia menekankan bahawa ketaksuban, Islamofobia, sikap rasis dan sebarang tindakan pemusnahan teks keagamaan tanpa mengira agama perlu dikecam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia turut menitikberatkan usaha pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan aspirasi dan kepentingan ahli-ahli PPB diperjuangkan secara adil dan saksama.

Malaysia menggariskan keperluan penambahbaikan kerangka kewangan antarabangsa untuk membantu negara-negara membangun mengatasi pelbagai masalah seperti krisis kewangan, inflasi, peningkatan kadar faedah dan pelega hutang (debt relief).

Dipengerusikan oleh Azerbaijan, mesyuarat itu dihadiri lebih 100 wakil negara anggota NAM, negara pemerhati NAM dan tetamu khas termasuk wakil pertubuhan antarabangsa.

Mesyuarat Menteri CoB-NAM adalah sebagai persediaan bagi Sidang Kemuncak NAM ke-19, yang dijadualkan di Kampala, Uganda, pada Januari 2024. - Bernama