'Najib tak mengadu atau pulangkan RM42 juta tapi guna sesuka hati'

 Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan pada Rabu. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan pada Rabu.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, perkara lazim bagi mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima dana ke dalam akaunnya adalah untuk memulangkannya dan membetulkan kesilapan itu tetapi Najib tidak melakukan sedemikian apabila RM42 juta itu dipindahkan ke akaunnya.

Dalam penghakiman ringkas setebal 54 muka surat itu, hakim berkata, Najib tidak pernah membuat aduan dengan pihak bank apabila dana itu dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi beliau agak berpuas hati apabila menerimanya dan menggunakan dana itu sesuka hatinya.

“Tidak pernah ditunjukkan penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC International atau perniagaannya. Hakim perbicaraan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) menganggap pemindahan dana itu ke dalam akaunnya mesti dilakukan dengan pengetahuan perayu kerana jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta tersebut.

“Oleh itu, keseluruhan keterangan mengukuhkan kesimpulan hakim bahawa perayu pasti mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga bersetuju dengan penemuan hakim perbicaraan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan bahawa pergerakan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada akaun bank SRC adalah tindakan penyalahgunaan yang tidak jujur,” katanya.

Hakim Abdul Karim juga berkata, RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan tidak pernah dialihkan ke mana-mana akaun lain dan RM42 juta itu digunakan oleh perayu (Najib).

Sebaik sahaja dana berkenaan diterima ke dalam akaun bank perayu, beliau menggunakan dana tersebut dengan mengeluarkan beberapa cek.

“Dalam keadaan ini, perayu sudah mengetahui dana yang dikreditkan ke dalam akaun banknya, dan mengikut undang-undang, beliau bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti dalam akaunnya,” kata hakim.

Artikel Berkaitan:

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting mengenai penyelewengan harta yang diamanahkan oleh perayu telah digunakan dengan jelas.

Beliau berkata, keterangan jelas menunjukkan perayu telah menyeleweng RM42 juta, subjek tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan memindahkan untuk kegunaan beliau sendiri serta telah menyeleweng secara tidak jujur.

Hakim Abdul Karim berkata, walaupun perayu berpendapat bahawa dana itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hakikatnya dana tersebut telah digunakan untuk kepentingan peribadinya, secara langsung dan tidak langsung, dan dalam beberapa kes untuk tujuan politik yang berkaitan dan dikira untuk memajukan kerjaya politik perayu,” katanya.

Hakim Abdul Karim berkata, mahkamah juga bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib menguruskan hal ehwal SRC International dan oleh sebab itu beliau telah diamanahkan menjaga dan melindungi aset serta harta syarikat.

“Ini terbukti selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan atas kedudukan itu, bekas Perdana Menteri itu telah mengeluarkan arahan kepada pemegang saham yang perlu dipatuhi oleh Lembaga Pengarah SRC.

“Peranan perayu itu secara rasminya berkuat kuasa setelah beliau dilantik sebagai Penasihat Emeritus syarikat dengan meluluskan pindaan terhadap Tataurusan Persatuan yang membolehkan jawatan itu diwujudkan.

Pelantikan ini bagi membolehkan beliau mengarahkan Lembaga Pengarah SRC untuk bertindak mengikut arahannya.

Atas dasar itu, pelbagai peranan perayu iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus, jelas menunjukkan beliau telah mengarah dan mengawal minda SRC,” katanya.

Berhubung derma Arab Saudi, hakim berkata, keterangan jelas menunjukkan bahawa dana itu berasal daripada SRC International dan berakhir di dalam akaun peribadi Najib.

“Sekiranya ia adalah derma peribadi daripada keluarga Diraja Arab Saudi kepada perayu, maka tiada alasan dana itu perlu didepositkan ke dalam akaun SRC. SRC ialah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh MOF Inc,” kata Hakim Abdul Karim.

Berkenaan pertuduhan pengubahan wang haram, hakim berkata mahkamah mendapati dana RM27 juta, RM5 juta, dan RM10 juta yang diterima perayu ke dalam akaun bank peribadinya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang dan dengan itu ia suatu elemen kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram).

Beliau berkata, panel hakim juga sependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi mengenai hujah Najib bahawa beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak mengesyaki sebarang perkara pelik mengenai kemasukan RM42 juta ke dalam akaunnya, adalah ternyata tidak benar dan meleset.

Hakim seterusnya berkata, Najib sengaja menutup matanya dan memilih untuk tidak terlalu memikirkan asal usul dana itu, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada orang lain, dan pada masa sama membelanjakan wang berkenaan untuk tujuan peribadi dan manfaat diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan rayuan kes SRC Najib dibaca menerusi Zoom

ARTIKEL BERKAITAN:Mahkamah Persekutuan ‘talian hayat’ terakhir

ARTIKEL BERKAITAN:Najib gagal hadir, mahkamah beri pilihan penjara atau zoom

ARTIKEL BERKAITAN:Permohonan Najib hanya lambatkan keputusan rayuan: Pendakwaan

ARTIKEL BERKAITAN:Kronologi kes SRC

ARTIKEL BERKAITAN:Najib kekal bersalah

ARTIKEL BERKAITAN:Terkuburkah karier politik Bossku?