ZPP terima RM1.3 juta zakat perniagaan

Ahmad Zakiyuddin (empat dari kanan) bergambar bersama wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan di Bukit Mertajam, pada Selasa.
Ahmad Zakiyuddin (empat dari kanan) bergambar bersama wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan di Bukit Mertajam, pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima bayaran zakat perniagaan lebih RM1.3 juta daripada enam syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Haddad Marketing Sdn Bhd dan Al Haddad Mart, Syed Hussain Syed Abdullah mendahului penyerahan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM60,000 bagi haul 2021 yang disampaikan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Rural Capital Berhad menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM63,959 bagi haul 2020 melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Razali Hassan dan diikuti penyerahan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu, Datuk Md Zabidi Ariffin yang menyampaikan bayaran RM174,485.57.

Turut menunaikan kewajipan itu ialah CIMB Islamic Bank yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM200,000 bagi haul 2020 disampaikan Pengarah Sektor Korporat, Akmal Hisham Aziz manakala Perda Venture Incorporated Sdn Bhd pula membayar RM313,082.25 bagi haul 2019 dan 2020 melalui eksekutif pemasarannya, Muhammad Said Abdul Halim.

Selain itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM500,000 bagi haul 2021 yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Ahmad Zakiyuddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, bulan Disember merupakan bulan yang sibuk bagi ZPP dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai amil kepada masyarakat Pulau Pinang selain giat menjalankan kempen kepada masyarakat Muslim di negeri ini untuk menunaikan kewajipan berzakat bagi tahun 2021.

Menurutnya, selaras dengan norma baharu pasca Covid-19, ZPP berjaya mendepani kemelut ini dengan strategi-strategi baharu dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran zakat terutama menggunakan platfom digital.

"Dengan peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana bantuan zakat kepada asnaf yang memerlukan untuk menjamin kelangsungan hidup mereka pada masa depan," katanya pada Majlis Hi-Tea ZPP bersama pembayar zakat korporat 2021 di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi ZPP berkata, membayar zakat bererti mempunyai kesedaran dan kepedulian sosial dalam membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Jelasnya, sekiranya kekayaan atau keuntungan yang dimiliki tidak dikongsi, ia boleh merosakkan jiwa kerana di situlah punca sikap bakhil.

"Sekiranya kekayaan dan keuntungan tidak dikongsi, ia boleh merosakkan malah akan wujud sifat boros dengan membelanjakan harta untuk tujuan keduniaan semata-mata sehingga mengikis keimanan kita kepada ALLAH," katanya.