PRU15: Kebangkitan BN menuju kemenangan tidak mampu disekat

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Kebangkitan Barisan Nasional (BN) menuju kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan mampu disekat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar beliau, parti yang pernah menguasai pentadbiran kerajaan selama 22 bulan begitu bimbangkan kebangkitan BN terutamanya selepas menyaksikan kemenenangan besarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

“Pelbagai kata-kata nista, tohmahan dan adu domba kembali diungkapkan ke atas BN dan para pemimpinnya.

“Tetapi kita percaya dan penuh yakin kali ini rakyat tidak akan terperdaya lagi walau apa pun mereka rancangkan ke atas BN dan pemimpinnya.

“Dengan izin Tuhan Yang Maha Esa kebangkitan BN menuju kemenangan PRU15 tidak akan mampu disekat,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pemimpin politik lain begitu cemas dan gementar terhadap kebangkitan BN ekoran takutkan bayang-bayang sendiri.

Menurutnya, mereka takut kepada segala keburukan, kejahatan dan penganiayaan yang pernah mereka lakukan terhadap BN.

“Menumbangkan kerajaan BN pada tahun 2018 dengan fitnah, pembohongan dan tipu daya.

Artikel Berkaitan:

“Melakukan ‘character assassination’ secara terancang ke atas pemimpin BN untuk menghasut kebencian rakyat,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, mereka juga cuba menewaskan kerajaan BN dengan menabur begitu banyak janji-janji palsu kepada rakyat.

Tambahnya, golongan ini juga menekan pemimpin BN yang masih setia kepada BN dengan sangat dahsyat apabila memperoleh kuasa.

“Sama ada mereka yang masih bersama dalam gabungan politik kerajaan singkat itu, mahupun yang telah menarik diri.

“Begitu juga dengan mereka yang menarik diri untuk menyelamatkan diri selepas mendapati gabungan politik berkenaan ditolak rakyat.

“Sehingga hari ini mereka bersama-sama meratib penuh ketakutan dan kekhuatiran melihat kebangkitan semula BN,” tambahnya.