Sabitan hukuman seleweng dana SRC, nasib Najib diketahui esok

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengenepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada jam 9 pagi Rabu.

Ia akan diputuskan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Dalam prosiding terakhir pada 18 Mei iaitu hampir tujuh bulan lalu, Najib mengemukakan 307 alasan, dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC.

Antaranya ialah, Najib menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membuat keputusan mensabitkannya pada 28 Julai 2020, gagal menimbangkan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mendakwa, Mohd Nazlan terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa pembelaannya mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud melalui tiga surat, sebagai cerita rekaan semata-mata.

Mengikut prosiding yang dijadualkan di mahkamah itu, rayuan Najib ditetapkan untuk pendengaran selama 12 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April.

Namun atas permohonan pembelaan, panel tiga hakim itu memutuskan untuk melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 6 Mei lalu.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku perayu diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Oktober 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.