X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya sebelum berlepas ke Singapura. -Foto: FB FAM
A
A

MALAYSIA berpeluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 andai menang ke atas Kemboja dan Laos dalam dua aksi awal Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, skuad Harimau Malaya wajib mencipta kemenangan ke atas dua pasukan berkenaan dalam misi mengatur langkah lebih awal ke pentas separuh akhir.

Malah, Wan Jamak percaya enam mata maksimum yang diraih jika menumbangkan Kemboja dan Laos mampu melonjakkan motivasi Harimau Malaya sebelum berdepan dua tugas getir berdepan Vietnam dan Indonesia.

Bagaimanapun, beliau berkata, aksi pertama kebiasaannya bukan mudah memandangkan barisan pemain Harimau Malaya perlu membiasakan diri di tempat baharu selain mencari rentak permainan.

“Walaupun ia bukanlah tugas mudah tetapi pasukan negara perlu mendapatkan mata penuh apabila menentang Kemboja dan Laos bagi memudahkan langkah mereka ke separuh akhir.

“Bila menang dalam dua perlawanan itu, moral mereka sudah tentu akan meningkat dan ia akan bagi kelebihan ketika menentang Indonesia dan Vietnam,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Atas kertas, Malaysia dilihat tidak menghadapi masalah apabila berdepan Kemboja pada Isnin ini sebelum membuat perhitungan dengan Laos berselang tiga hari kemudian.

Namun, tugas getir bakal ditempuhi Malaysia apabila dijadualkan menentang penyandang juara, Vietnam pada 12 Disember sebelum menutup aksi Kumpulan B bertemu Indonesia seminggu kemudian.

“Kita tahu Vietnam dan Indonesia adalah pencabar terkuat dalam Kumpulan B. Jadi sebelum bertemu kedua-dua pasukan itu, Malaysia perlu mencari momentum dengan meraih kemenangan dalam dua aksi awal.

“Jika dapat mengejutkan Vietnam, sudah tentu ia akan menambahkan lagi semangat barisan pemain negara sebelum berdepan Indonesia,” ujarnya yang membimbing Harimau Malaya muncul naib juara edisi sulung Piala AFF 1996 di Singapura.

Pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan pula percaya kemenangan ke atas Kemboja dan Laos akan menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya memburu tiket separuh akhir.

“Confident level ini sangat penting. Contoh terbaik KL City FC yang mana bila mereka dapat confident level tinggi, ia memudahkan mereka untuk menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini.

“Itu yang kita mahukan, harap benda sama dapat berlaku kepada pasukan negara. Jika menang dua aksi pertama, ia sudah tentu akan tingkatkan confident level setiap pemain,” jelasnya yang memikul tugas kapten Harimau Malaya pada Piala AFF 1996.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!