'Bukan senang Harimau Muda menang emas di Kemboja 2023'

Skuad B-22 negara muncul juara Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.
Skuad B-22 negara muncul juara Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.
A
A
A

STATUS juara kejohanan empat penjuru - Piala Merlion 2023 di Singapura Mac lalu bukan 'tiket' mudah buat skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan berkata, skuad kendalian E Elavarasan bakal berdepan saingan sengit Vietnam, Thailand, Indonesia yang merupakan antara pasukan kuat di rantau Asia Tenggara.

“Aspek pemilihan pemain memang semua mantap. Ini adalah satu pasukan yang kita boleh harap untuk dapat pingat pada Sukan SEA di Kemboja nanti.

“Ia satu petanda yang baik tetapi bukan mudah untuk menang (raih pingat emas) Sukan SEA. Ia terpulang kepada persediaan kita sebelum menghadapi temasya itu.

“Pasukan-pasukan lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia adalah skuad yang sama kuat dengan pasukan muda negara,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Untuk rekod, Harimau Muda meraih 'ibu emas' Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos dan edisi 2011 di Jakarta, Indonesia yang ketika itu masing-masing dibimbing Datuk K Rajagobal dan Datuk Ong Kim Swee.

Mengulas lanjut, Sathianathan percaya barisan kejurulatihan dapat membina keserasian dalam kalangan pemain untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

“Semuanya perlu ambil masa untuk bentuk keserasian dan teknik permainan. Kita perlu ada satu sistem yang mantap bagi membantu sebuah pasukan yang cukup kuat.

“Tetapi saya percaya coach Elavarasan sudah mempunyai barisan terbaiknya. Beliau sudah membentuk pasukan ini sejak beberapa bulan lalu,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan kempen di Kemboja menentang Laos Rabu ini diikuti berdepan Thailand (Sabtu), Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan kumpulan B bertemu Singapura (11 Mei).

Bagaimanapun, misi skuad muda negara untuk merampas pingat emas acara bola sepak lelaki dilihat berliku apabila bakal berdepan ujian awal Thailand dan Vietnam.