Penyembur air 'senjata' utama Masjid Chenulang hadapi banjir

Mohd Adnan menggunakan penyembur air untuk membersihkan lumpur berkenaan.
Mohd Adnan menggunakan penyembur air untuk membersihkan lumpur berkenaan.
A
A
A

KUALA KRAI - Penyembur air atau 'water jet' akan menjadi alat utama di Masjid Mukim Chenulang apabila musim tengkujuh bagi membersihkan kawasan masjid yang menjadi 'laluan' air Sungai Kuala Pertang kira-kira 100 meter dari masjid tersebut.

Hampir setiap tahun ketika musim bah dan hujan berterusan, kawasan utama di bahagian bawah bangunan baharu masjid dua tingkat berkenaan ditenggelami air sehingga 0.2 meter.

Tok Siak Masjid Mukim Chenulang, Mohd Adnan Mat Hussin, 53 berkata, beliau dan ahli jawatankuasa lain akan memastikan penyembur air berkenaan berfungsi dengan baik apabila masuk sahaja bulan Oktober.

"Kami akan memulakan mengemas barang-barang seperti karpet untuk dibawa naik ke bahagian atas masjid bagi persediaan kemungkinan banjir.

"Kita turut memeriksa penyembur air, membeli penyapu dan beberapa peralatan utama lain sebagai persediaan mencuci kawasan yang terjejas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu membersihkan kawasan masjid berkenaan selepas dinaiki air sedalam 0.2 meter awal pagi Jumaat.

Menceritakan detik berkenaan, Mohd Adnan berkata, ketika itu beliau dan jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh dan air mula naik dengan cepat dalam masa setengah jam.

"Namun air 'lalu' saja, pada jam 10 pagi air sudah tiada tetapi lumpur lantai tetap dipenuhi lumpur. Sebab itu kita kena bersedia dengan penyembur. Setiap kali hujan berterusan, itulah rutin saya dan rakan-rakan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masjid Mukim Chenulang juga sering menjadi penanda aras banjir besar kerana pernah tenggelam hampir 80 peratus ketika bah besar melanda Kelantan tahun 2014.

Katanya, masjid yang boleh memuatkan lebih 300 jemaah itu juga sering digenangi air sehingga 0.5 meter apabila berlaku banjir besar atau hujan berterusan dalam tempoh yang lama.

Mohd Adnan memberitahu, pihaknya sering mendapat bantuan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi menguruskan operasi pembersihan masjid berkenaan jika melibatkan lumpur yang tebal.

"Kalau lumpur biasa, penyembur air itulah 'senjata' kami. Kami akan buat sendiri. Kami harap tahun ini tidak berdepan bah yang besar sebagaimana sebelum ini, InsyaALLAH," katanya.