Tindakan tegas kepada peniaga jual barangan kawalan secara bersyarat

Adnan (kanan) melihat timbangan ayam yang dijual serendah RM7.90 sekilogram pada Program Jualan #Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Rantau Panjang di Lubok Jong pada Sabtu.
Adnan (kanan) melihat timbangan ayam yang dijual serendah RM7.90 sekilogram pada Program Jualan #Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Rantau Panjang di Lubok Jong pada Sabtu.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dengan pengeluar, pemborong atau peruncit yang mengamalkan jualan bersyarat berkait barangan kawalan bersubsidi terutama minyak masak peket.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya akan mengenakan denda tinggi kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti berkenaan.

"Setakat ini, kami sudah menerima lima aduan berkait dengan jualan bersyarat itu.

"Cara jualannya mudah, mereka mengenakan syarat hendak beli minyak peket kena beli dengan gula sekali dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan #Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Rantau Panjang di Lubok Jong pada Sabtu.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan terus dijalankan oleh KPDNHEP Kelantan bagi memastikan tiada pelanggaran dilakukan sekali gus memberikan impak tidak baik kepada pengguna.

Beliau berkata, orang ramai yang berdepan dengan situasi itu disaran untuk mengemukakan aduan kepada KPDNHEP Kelantan bagi membolehkan tindakan terus diambil kepada pihak terlibat.

Adnan berkata, tindakan tegas itu bertujuan memberikan kesedaran kepada mereka yang terlibat supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut pada masa hadapan.

Mengulas mengenai Program Jualan #Keluarga Malaysia, Adnan berkata, program tersebut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung yang bermula pada jam 8 pagi hingga 1 tengah hari Sabtu.

Katanya, inisiatif itu diperkenalkan kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya daripada kalangan berpendapatan rendah.
Artikel Berkaitan:


"Program ini merupakan kerjasama KPDNHEP dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia serta Malaysia ketika ini.

"Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi kesemua 14 kawasan Parlimen di Kelantan dan lokasi-lokasi ditentukan akan diumumkan kelak," katanya.

Adnan berkata, Program Jualan #Keluarga Malaysia menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

"Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses," katanya.