Sanusi gubah pantun khas buat Baddrol Bakhtiar

Muhammad Sanusi memuat naik pantun di Facebook miliknya yang ditujukan khas buat Baddrol Bakhtiar. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Muhammad Sanusi memuat naik pantun di Facebook miliknya yang ditujukan khas buat Baddrol Bakhtiar. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

SELEPAS pantun yang ditujukan khas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tular dan ‘menghangatkan’ arena bola sepak, kali ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengubah serangkap pantun khas untuk ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memuat naik pantun empat kerat itu di Facebook miliknya, sejurus Baddrol disahkan meninggalkan pasukan Kedah untuk menyertai Sabah FC musim hadapan.

Menerusi bait pantun tersebut, Muhammad Sanusi seakan menggambarkan harapan untuk Baddrol akan kembali beraksi di Kedah walaupun sudah jauh ke Sabah untuk meneruskan karier bola sepak beliau.

"Pantun Pucuk pauh delima batu, Anak semilang di tapak tangan, Biar jauh beribu batu, Hilang di mata di hati jangan," tulisnya.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi KDA FC, penghormatan turut diberikan kepada Baddrol atau lebih sinonim dengan gelaran BB7 yang dianggap sebagai legenda pasukan Hijau Kuning itu.

Menurut KDA FC, pihaknya akan mengimbau kerjaya bola sepak Baddrol menerusi 16 siri slot artikel dan video penghormatan untuk ikon bola sepak Kedah itu berdasarkan tempoh 16 tahun karier beliau mewakili skuad Hijau Kuning.

“Walaupun telah tersurat kisah legenda Baddrol hanya setakat musim 2021, jodoh Baddrol dengan pasukan Kedah telah menjangkau 16 tahun. Sudah tentu ini satu keputusan yang tidak mudah buat beliau yang akan merubah landskap bola sepak Kedah selepas ini.

“Perpisahan beliau yang akan mewakili pasukan berbeza pada musim hadapan sememangnya memberi khabar sedih untuk semua pihak terutamanya peminat setia Kedah,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, aura dan kepimpinan yang dibawa oleh Baddrol sepanjang 16 tahun bersama sebuah pasukan adalah terjemahan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi bagi seorang pemain bola sepak.

“Penghormatan yang diterima oleh Baddrol bukan hanya berlegar di Kedah, nama beliau turut disegani di rantau Asia Tenggara kerana mencapai status antara pemain yang merekodkan kejuaraan semua piala kejohanan domestik Liga Malaysia,” katanya.

KDA FC turut memaklumkan rekod peribadi Baddrol menepati gelaran legenda apabila muncul antara pemain tempatan dengan jumlah jaringan tertinggi sepanjang beraksi dalam Liga Super/Liga Premier bagi pasukan Hijau Kuning.

“Pencapaian beliau bersama pasukan Kedah juga tiada tandingan dengan rekod 296 penampilan selain menghasilkan keseluruhan 123 gol,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pengurusan KDA FC mendoakan Baddrol terus cemerlang dalam kerjaya bola sepaknya bersama kelab baharu dan skuad kebangsaan.

Pada Rabu, KDA FC mengumumkan kenyataan di Facebook rasminya berhubung keputusan Baddrol untuk meninggalkan pasukan tersebut untuk menyertai Sabah FC.

Baddrol memilih untuk membawa haluan berbeza musim hadapan selepas menyumbang bakti selama 16 tahun bersama Kedah.