Kelantan umum belanjawan defisit bagi 2022

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan membentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2022 berjumlah RM90.49 juta iaitu peningkatan sebanyak RM24.47 juta berbanding RM66.02 juta pada tahun 2021.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun setiap tahun anggaran belanjawan negeri mencatat defisit, namun untuk empat tahun berturut-turut, kerajaan negeri mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus iaitu RM38.82 juta dalam tahun 2017, RM40.46 juta (2018), RM445.69 juta (2019) dan RM45.44 juta (2020).

Beliau berkata, anggaran hasil negeri pada tahun 2022 pula dijangka sebanyak RM991.74 juta.

"Terimaan daripada agensi kerajaan menjadi penyumbang terbesar dengan sumbangan sebanyak RM339.65 juta iaitu 34.25 peratus. Hasil tanah menjadi penyumbang kedua terbesar dengan jumlah RM317.59 juta iaitu 32.02 peratus.

"Penyumbang ketiga terbesar adalah terimaan lain-lain dengan jumlah RM181.62 juta iaitu 18.31 peratus. Hasil hutan pula menjadi penyumbang keempat terbesar dengan sumbangan sebanyak RM97 juta iaitu 9.78 peratus.

"Sumbangan hasil perlombongan iaitu royalti mineral serta Permit Tanah dan Galian sebanyak RM37.01 juta iaitu 3.73 peratus. Hasil pelaburan pula sebanyak RM11.2 juta iaitu 1.13 peratus, selain hasil air sebanyak RM7.3 juta, manakala kutipan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) sebanyak RM378,000," katanya ketika membentangkan belanjawan tahun 2022 menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Khamis.

Belanjawan Kelantan tahun 2022 bertemakan 'Kelantan Maju Rakyat Sejahtera'.

Ahmad berkata, anggaran perbelanjaan mengurus pada tahun 2022 dijangka sebanyak RM1.08 bilion berbanding RM1.09 bilion pada tahun 2021 iaitu penjimatan sebanyak RM7.46 juta atau 0.68 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun 2022 berjumlah RM428.3 juta dibiayai di bawah peruntukan negeri dan sumber pinjaman.

"Untuk tahun 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM22 juta termasuk bantuan prihatin, pengurusan operasi, projek-projek khas serta meningkatkan fasiliti kesihatan.

"Bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air, kerajaan negeri memperuntukkan RM21.65 juta untuk membina empat Loji Rawatan Air (LRA) dan membaik pulih dua LRA serta menyediakan sambungan paip dan bekalan air.

"Kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat memperuntukkan kepada Kelantan bahagian yang lebih besar daripada RM25.8 bilion bagi menambah baik liputan bekalan serta kemampanan air.

"Sebagai langkah jangka pendek, kerajaan akan membuat penukaran paip lama iaitu jenis simen asbestos (AC) sepanjang 511 kilometer secara berperingkat dengan anggaran kos sebanyak RM218 juta," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM44.71 juta untuk Perumahan Rakyat meliputi RM20.08 juta untuk rumah mampu milik, selain rumah Dhuafa (RM10.67 juta), Tabung Perumahan (RM10 juta) dan Rumah Asnaf di bawah Skim Tadahan Rahmat (RM3.96 juta).

Jelas beliau, untuk tahun 2022, Bantuan Rumah Dhuafa meningkat sebanyak RM4.27 juta iaitu 66.72 peratus berbanding RM6.4 juta pada tahun sebelumnya.