Ambil iktibar penyelewengan RM24.8 juta dana Kesedar

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diingatkan agar mengambil iktibar terhadap kes penyelewengan membabitkan penolong pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM24.8 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, kejadian itu telah merosakkan imej dan prestasi kementerian.

"Kerana nila setitik, persepsi organisasi telah menjadi negatif," katanya menerusi ucapan Majlis Perkhidmatan Cemerlang (MPC) dan Apresiasi KKDW 2022 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

Pada majlis itu, seramai 10 orang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dirai.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap soal integriti pegawai dan kakitangan kementerian itu.

"Ini bukan hanya soal persepsi semata-mata tetapi integriti yang mesti diperlihatkan bukan hanya didendang," tegasnya.

Menurutnya, pegawai dan kakitangan KKDW merupakan aset kerajaan dan mewakili rakyat terutama di kawasan luar bandar.

"Saya dan Timbalan, Datuk Rubiah Wang tidak pernah berkompromi untuk mengambil tindakan disiplin dan undang-undang kepada pegawai terbabit," katanya.

Beliau berkata, sekiranya prestasi pegawai berada di tahap yang rendah, ia boleh diperbaiki dengan melakukan libat urus.

"Tetapi soal integriti yang melibatkan rasuah, pecah amanah, penyelewengan atau kepentingan peribadi itu, memang kita tidak boleh kompromi," tegasnya lagi.

Pada 27 Mei lepas, media melaporkan seorang penolong akaun sebuah agensi kerajaan ditahan untuk siasatan kes pecah amanah.

Suspek lelaki yang berusia 37 tahun itu didakwa melakukan pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik Kesedar ke akaun syarikat miliknya membabitkan jumlah keseluruhan RM24,800,189.73 meliputi 194 transaksi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di rumahnya di Bandar Gua Musang.

Ahmad Zahid kemudian mendedahkan suspek telah menyalahgunakan identiti sembilan individu di dalam Kesedar untuk melakukan pecah amanah dan menyifatkan perbuatan tersebut adalah licik.