77.5 peratus kematian di Terengganu libatkan individu tidak divaksin

 Sebanyak 77.5 peratus iaitu seramai 595 orang daripada 768 jumlah kematian akibat Covid-19 di Terengganu merupakan individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin. Gambar hiasan
Sebanyak 77.5 peratus iaitu seramai 595 orang daripada 768 jumlah kematian akibat Covid-19 di Terengganu merupakan individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 77.5 peratus iaitu seramai 595 orang daripada 768 jumlah kematian akibat Covid-19 di Terengganu merupakan individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Kasemani Embong berkata, angka kematian yang direkodkan sehingga 30 November lalu melibatkan seramai 425 lelaki (55 peratus) dan 343 wanita (45 peratus).

Katanya, peratus kematian mengikut umur paling tinggi melibatkan individu berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) manakala 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus).

"Sebanyak 85.7 peratus iaitu 658 orang daripada keseluruhan kes kematian merupakan individu yang mempunyai faktor komorbid," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Kasemani berkata, penggunaan sebanyak 72.5 peratus katil di unit rawatan rapi (ICU) buat masa ini disebabkan peningkatan 84.4 peratus kes kemasukan ke hospital oleh pesakit Covid-19 tahap tiga, empat dan lima.

"Daripada peratusan kes kemasukan ke hospital, 53.6 peratus adalah mereka yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

"Selain itu, sebanyak 39.5 peratus kes yang dimasukkan ke ICU sejak akhir Oktober lalu melibatkan mereka yang tidak divaksin," katanya.

Menurut Dr Kasemani, antara faktor peningkatan kes kematian berpunca daripada kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berusia lebih 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang berusia lebih 50 tahun berisiko memiliki kekurangan imuniti kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal.

"Namun, majoriti dalam kalangan pesakit di ICU yang telah divaksin dan meninggal dunia belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak," katanya.

Katanya, pencapaian dos penggalak sebanyak 3.4 peratus di Terengganu adalah amat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.

Sehubungan itu, katanya individu berusia 50 tahun dan ke atas dinasihatkan supaya segera mendapatkan suntikan vaksin atau dos penggalak di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan swasta yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Bagi suntikan dos penggalak, sehingga kini hanya seramai 31,397 individu telah disuntik manakala sebanyak 69.2 peratus daripada populasi rakyat Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan 92.6 peratus dalam kalangan populasi dewasa telah lengkap dos primer.

"Untuk meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta, mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai PPV serta melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan KKM," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Kasemani berkata, kes Covid-19 di negeri itu meningkat sejak kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lalu dan Terengganu memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sejak akhir Oktober lalu sehingga kini, Terengganu mencatat peningkatan 24.9 peratus kes kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital menyebabkan penggunaan katil mencecah 59.7 peratus.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama iaitu dalam masa lima minggu sebelum ini," katanya.