Sanusi tuju pantun kepada JDT

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Perang mulut antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu bola sepak bukanlah sesuatu yang asing dan ia kembali menghangatkan media sosial.

Terbaharu, Muhammad Sanusi membaca serangkap pantun ditujukan khas kepada pasukan JDT yang gagal muncul sebagai juara Piala Malaysia edisi 2021 malam Selasa.

Menteri Besar Kedah itu melontarkan bait-bait pantun empat kerat di akhir ucapannya dalam program ramah mesra beliau bersama anak-anak Kedah di Kaherah pada Selasa.

Menerusi video yang tular, Muhammad Sanusi secara seloroh berpantun, “Dari Kedah ke Singapura, Singgah di KL membeli gula, Saya membawa khabar gembira, JDT kalah lawan bola.” dan mendapat tepukan gemuruh tetamu yang hadir.

Video berdurasi tujuh saat itu disunting dan dimuat naik pelayar @leebard2701 di laman Tiktok, mendapat lebih 12,300 tanda suka dan lebih 5,000 perkongsian.

Menerusi ucaptama sebelum itu, Muhammad Sanusi berkata, kekalahan JDT adalah kesenangan ramai pihak.

“Semua orang seronok JDT kalah, kalau JDT menang orang tak hairan pun, kan,” ujarnya sinis.

Dalam paparan di laman Facebook miliknya, Muhammad Sanusi turut mengucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur (KL) City FC atas kemenangan pasukan itu menewaskan pasukan Harimau Selatan itu.

Artikel Berkaitan:

“Tahniah KL City FC, saya dan jutaan peminat bola sepak tumpang gembira. Sapa (siapa) ada gambar rimau (harimau) jalan tersipu-sipu?” Tulisnya di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah gemilang KL City

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 malam Selasa, JDT tewas 0-2 kepada KL City FC, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2019.

Pada aksi suku akhir Piala Malaysia, pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC tewas kepada JDT pada 18 November lalu.

Sebelum itu, pada perlawanan pertama suku akhir kedua-dua pasukan, Tunku Ismail mengirim sejambak bunga ros merah dan beberapa bungkusan makanan segera McDonalds kepada Muhammad Sanusi berserta nota bertulis “dengan ingatan tulus ikhlas dari TMJ”.